Kempen Beli Balik galak komuniti amalkan kitar semula

Facebook
WhatsApp
KITAR SEMULA…Kempen Beli Balik akan diadakan di Pusat Hijau Komuniti Bandar Riyal pada 26 September ini dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Foto MPKS

KOTA SAMARAHAN: Orang ramai berpeluang menukar barangan kitar semula serta sisa elektrik dan elektronik kepada wang tunai menerusi Kempen Beli Balik yang akan diadakan di Pusat Hijau Komuniti Bandar Riyal, Sabtu ini.

Program anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) itu dijadual berlangsung pada 26 September ini, bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Kempen berkenaan membuka ruang kepada masyarakat untuk menghantar pelbagai barangan terpakai, termasuk komputer riba, monitor, komputer meja, telefon bimbit, tablet, kamera, papan kekunci, tetikus, projektor, televisyen serta pencetak dan pengimbas.

Turut diterima ialah peralatan elektrik seperti mesin basuh, penghawa dingin dan peti sejuk, selain sisa elektronik bersaiz kecil serta besi buruk.

Bahan kitar semula lain yang boleh dijual termasuk botol plastik, tin aluminium atau tin minuman, tin makanan, kertas campuran serta kotak dan surat khabar, dengan kadar belian ditetapkan mengikut jenis dan berat barangan.

Minyak masak terpakai turut diterima pada kadar RM3 sekilogram, sekali gus memberi pilihan kepada penduduk untuk melupuskannya menerusi saluran yang lebih sesuai berbanding membuangnya bersama sisa domestik.

Selain aktiviti beli balik, penganjur turut menerima sumbangan pakaian terpakai untuk didermakan.

Penganjuran kempen itu merupakan antara usaha untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan kitar semula dan mengurus barangan terpakai dengan lebih teratur, khususnya sisa elektrik dan elektronik yang tidak lagi digunakan.