Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS, mata wang utama susulan sentimen positif

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Selasa, disokong sentimen pasaran yang bertambah baik susulan penurunan harga minyak global serta perkembangan geopolitik.

Pada 8.00 pagi, ringgit meningkat sedikit kepada 4.0750/0805 berbanding dolar AS daripada paras 4.0755/0800 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah Brent turun 3.4 peratus kepada US$100.34 setong susulan data satelit yang menunjukkan Arab Saudi mengalihkan eksport minyaknya melalui Selat Hormuz selepas saluran paip Timur-Barat ditutup.

Dilaporkan bahawa Arab Saudi meningkatkan eksport minyak mentah melalui Selat Hormuz kepada kira-kira 2.9 juta tong sehari daripada sekitar 700,000 tong sehari pada Ogos susulan gangguan terhadap saluran paip Timur-Barat.

“Pada masa sama, kesediaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk bertemu Presiden Iran semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini turut menunjukkan perkembangan positif berhubung perang di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.

Susulan perkembangan itu, ringgit berpotensi menunjukkan trend pengukuhan secara beransur-ansur hari ini, katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.6716/6779 daripada 4.6783/6834 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4475/4548 daripada 5.4542/4603, selain naik berbanding yen Jepun kepada 2.5893/5931 daripada 2.5916/5946 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1931/1976 daripada 3.1950/1987, tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 12.2593/2822 daripada 12.2450/2637 sebelum ini.

Mata wang tempatan tidak banyak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 228.3/228.7 daripada 228.3/228.6, manakala kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.49/6.50 ketika ditutup pada Isnin. – Bernama