KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan di sini selepas hampir sejam menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perdana Menteri yang menaiki kenderaan rasmi jenis Mercedes-Benz sempat melambai ke arah pengamal media yang menunggu di luar istana pada kira-kira 7.00 petang.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan kenyataan beliau tidak berjaya dan Anwar hanya menunjukkan isyarat cuaca hujan.
Sesi menghadap itu dipercayai susulan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Sembilan yang berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam tadi, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Azizi berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang Dipertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan telah masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Susulan perkara itu, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – Bernama



