PONTIANAK, Indonesia: Indonesia melakukan “segala-galanya” untuk memerangi kebakaran hutan berskala besar, namun puluhan pesawat dan ribuan anggota masih bergelut untuk mengawalnya, kata seorang pegawai kanan hari ini.
Pasukan bomba telah bertungkus-lumus selama beberapa minggu memadamkan kebakaran di Borneo dan Sumatera yang menyebabkan beberapa kawasan di negara itu, selain negara jiran Malaysia dan Singapura, diselubungi jerebu berbahaya.
Kerajaan Indonesia mengerahkan 64 pesawat dan 54,000 anggota ke pulau-pulau berkenaan sejak bulan lalu dalam usaha memadamkan kebakaran menerusi operasi pengeboman air, kata Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya.
“Dari udara hingga ke darat, semua pasukan terus bergerak. Segala usaha sedang dilakukan untuk memadamkan kebakaran, mengurangkan kesan asap dan paling penting, melindungi orang ramai daripada ancaman kebakaran hutan dan tanah,” katanya.
“Saiz kawasan yang begitu luas serta keadaan tanah gambut yang mencabar menimbulkan kesukaran besar dalam menangani kebakaran hutan dan tanah di pelbagai wilayah.”

Daniel Sinyor, jurucakap agensi pengurusan bencana Kalimantan Barat, antara kawasan yang paling teruk terjejas, berkata kedalaman kebakaran yang berbeza-beza dalam tanah gambut turut menyukarkan usaha pemadaman.
“Satu lagi cabaran ialah sumber air yang terhad untuk pasukan petugas di darat. Secara umumnya, sumber air semakin berkurangan atau langsung tiada di kawasan yang terjejas akibat kebakaran,” katanya.
Minggu lalu, kumpulan masyarakat Orang Asal dan pertubuhan masyarakat sivil di Kalimantan Barat memfailkan saman berkumpulan terhadap kerajaan, termasuk presiden dan gabenor, atas dakwaan gagal mencegah kebakaran berkenaan.
“Ini bukan bencana baharu. Bencana ini berlaku setiap tahun. Corak yang berulang ini membuktikan pandangan kami bahawa pihak defendan mengetahui potensi bencana jerebu dan risiko bencana akibat kebakaran hutan dan tanah,” kata peguam kumpulan itu, Glorio Sanen dalam satu kenyataan ketika itu.
Kira-kira 350 anggota Pasukan Pertahanan Diri Jepun tiba di Kalimantan Barat bulan ini bagi membantu usaha memadamkan kebakaran.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut menyatakan kesediaan untuk menerima bantuan daripada Malaysia.
Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kemarau yang lazimnya berlangsung dari Julai hingga Oktober.
Namun, kebakaran tahun ini lebih serius dan berlaku serentak dengan fenomena iklim El Nino yang dijangka paling kuat sejak rekod setanding mula dicatatkan empat dekad lalu.
Pakar turut mengaitkan keadaan itu dengan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad serta amalan pembukaan tanah secara tebang dan bakar yang telah mengubah landskap yang secara semula jadinya tahan terhadap kebakaran.
Lebih 202,000 hektar tanah terbakar di seluruh Indonesia antara Januari hingga Julai, menurut kerajaan.
Projek Nusantara Atlas pula menganggarkan hampir 300,000 hektar terbakar dalam tempoh sama, manakala jumlah keseluruhan kawasan terjejas dianggarkan mencecah hampir 896,000 hektar apabila angka bagi Ogos turut diambil kira. – AFP





