MELAKA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama strategik Jabatan Akauntan Negara (JANM) melancarkan sistem pembayaran kompaun secara dalam talian yang dikenali sebagai i-Payment pada tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pelancaran sistem itu merupakan antara langkah pendigitalan perkhidmatan awam yang bertujuan memudahkan urusan orang awam dan pihak industri, khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan pematuhan perundangan alam sekitar.
Beliau berkata, kemudahan pendigitalan perkhidmatan perlu dilaksanakan seiring dengan pendekatan penguatkuasaan yang konsisten bagi memastikan pematuhan terhadap perundangan alam sekitar terus diberikan keutamaan.
“Pendigitalan bukan sekadar memindahkan urusan daripada kaunter kepada platform dalam talian, sebaliknya usaha untuk memastikan perkhidmatan kerajaan lebih mudah dicapai, cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Dalam konteks JAS, kemudahan pembayaran kompaun dalam talian ini melengkapkan usaha penguatkuasaan dengan menyediakan saluran penyelesaian yang lebih mudah dan tersusun tanpa menjejaskan keperluan untuk memastikan pematuhan terhadap perundangan alam sekitar terus diperkukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata, sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026, kerajaan menawarkan pengurangan sebanyak RM100 bagi setiap bayaran kompaun yang dibuat melalui sistem i-Payment dari hari ini hingga 30 November, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, tawaran itu merupakan sebahagian daripada tempoh transisi sebelum pelaksanaan pembayaran kompaun JAS melalui i-Payment berkuat kuasa sepenuhnya bermula 1 Disember.
Sehubungan itu, Arthur berkata, individu dan pihak industri yang mempunyai kompaun tertunggak diseru memanfaatkan kemudahan tersebut untuk menyelesaikan tanggungjawab mereka melalui saluran pembayaran yang lebih mudah dan cekap.
Sementara itu, beliau berkata, selain memperkukuh pematuhan melalui penyampaian perkhidmatan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui JAS turut memberi penekanan kepada pendidikan alam sekitar sebagai asas pembentukan kesedaran, nilai dan amalan lestari sejak peringkat awal.
Arthur berkata, Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) terus diperkasakan sebagai platform pendidikan yang menggalakkan pembudayaan kelestarian dalam ekosistem sekolah melalui penglibatan warga sekolah, pengurusan sumber secara bertanggungjawab dan pelaksanaan amalan mesra alam.
“Pendekatan ini penting bagi membentuk generasi yang mempunyai pengetahuan serta kesedaran terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar, di samping mendorong penerapan amalan lestari dalam kehidupan seharian.
“Pendidikan alam sekitar yang dilaksanakan secara berterusan perlu disokong menerusi kerjasama ibu bapa, pendidik, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan supaya nilai kelestarian yang diterapkan di sekolah dapat diperluas kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.
Arthur berkata, usaha membudayakan kelestarian melalui pendidikan juga melengkapi pelaksanaan penguatkuasaan dan pencegahan pencemaran dengan memberikan penekanan kepada pembentukan sikap serta perubahan tingkah laku dalam jangka panjang. – Bernama




