KUCHING: Seramai 27 usahawan wanita terpilih menyertai ‘Program Rapid Response Recovery’ yang diadakan baru-baru ini,
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mereka terdiri daripada pelbagai bidang perniagaan seperti spa dan urut seramai tujuh orang, kraftangan (tiga orang), makanan seramai (lapan orang), pembinaan (dua orang), jahitan dan pakaian (empat orang), kecantikan, perkhidmatan perkahwinan, takaful dan pertanian masing-masing seorang.
“Program ini bermula pada 16 Ogos lalu dan tamat pada 10 September nanti melalui perjumpaan zoom,” katanya ketika melancarkan ‘Program Rapid Response Recovery’ melalui aplikasi Zoom.
Tambahnya, kementeriannya sangat prihatin terhadap kesejahteraan komuniti terutamanya komuniti usahawan di negeri ini.
“Cadangan pihak Startup Malaysia sangat dialu-alukan kerana selari dengan usaha kementerian dan agensi di bawahnya dalam rangka merealisasikan matlamat ekonomi digital di Sarawak,” ujarnya.
Antara topik bagi tiga fasa program itu ialah Fasa Penemuan, Fasa Penyampaian dan Fasa Pelaksanaan seperti E- Perdagangan dan penggunaan sosial media sebagai platform perniagaan adalah sangat sesuai mengikut perkembangan situasi semasa.
“Harapan kementerian agar program selama empat minggu sebanyak 12 sesi ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta yang terpilih.
“Mudah-mudahan program ini akan membantu meningkatkan keampuhan (resilient) dan kemandirian (survival) para usahawan wanita Sarawak dalam mendepani cabaran berikutan pandemik Covid-19 dan akan dapat terus bangkit membina empayar perniagaan sesuai bidang perniagaan yang diceburi masing-masing,” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN