Manchester City pesta gol, takluk Sunderland 5-3

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Norway Manchester City, Erling Haaland meraikan jaringan gol kelima pasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Sunderland di Stadium Etihad, Manchester, barat laut England, sebentar tadi. Foto AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan penuh bergaya apabila gol pertama Enzo Fernandez bersama kelab itu mencetuskan kemenangan mendebarkan 5-3 ke atas Sunderland sebentar tadi.

Pemain tengah Argentina itu, yang menyertai City daripada Chelsea dengan yuran perpindahan £125 juta (AS$167 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan, membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada awal permainan di Stadium Etihad.

Brian Brobbey kemudian mengetuai kebangkitan Sunderland apabila menyamakan kedudukan selepas gol Fernandez sebelum Rayan Cherki kembali meletakkan City di depan.

Antoine Semenyo kemudian meledak dua gol untuk memastikan City terus mendahului sebelum Brobbey melengkapkan hatrik bagi merapatkan kedudukan Sunderland kepada satu gol.

Erling Haaland kemudian menjaringkan gol pada penghujung permainan untuk memastikan kemenangan ketujuh berturut-turut City dalam semua pertandingan musim ini.

City kini satu-satunya pasukan yang masih mencatat rekod sempurna dalam Liga Perdana Inggeris dan mendahului juara bertahan Arsenal dengan kelebihan tiga mata menjelang rehat antarabangsa.

Ia merupakan permulaan impian buat Maresca yang berdepan tugas sukar menggantikan Pep Guardiola, yang memenangi 20 trofi dalam era gemilang bersama City sebelum meletakkan jawatan pada penghujung musim lalu.

City menduduki tangga teratas liga dengan 13 gol dalam lima perlawanan. Bagaimanapun, aksi menentang Liverpool dan Paris Saint-Germain sebaik sahaja rehat antarabangsa pastinya membuatkan Maresca bimbang susulan kelemahan pertahanan yang didedahkan Sunderland.

PERTAHANAN Portugal Manchester City, Ruben Dias bersaing dengan pertahanan Sunderland pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Sunderland di Stadium Etihad, Manchester, barat laut England, sebentar tadi. Foto AFP

Fernandez meletakkan City di depan selepas hanya sembilan minit menerusi sepakan percuma lencong yang mengejutkan penjaga gol Sunderland, Robin Roefs, apabila bola menerjah masuk di tiang dekat.

Sunderland membalas dengan baik apabila Brobbey menerima hantaran Enzo Le Fee sebelum melakukan penyudah kemas untuk menewaskan Gianluigi Donnarumma pada minit ke-12.

Cherki kembali memberikan kelebihan kepada City pada minit ke-29 apabila penyerang Perancis itu menyudahkan peluang selepas Sunderland gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Kelemahan pertahanan City sekali lagi dihukum Brobbey pada minit ke-33.

Le Fee dan Thomas Meunier bergandingan mencipta peluang buat Brobbey apabila City gagal bertindak pantas untuk menghalang penyerang Belanda itu melakukan penyudah jarak dekat. Jaringan itu hanya disahkan selepas semakan VAR selama tiga minit bagi menentukan sama ada berlaku ofsaid.

Separuh masa pertama yang berlangsung dalam tempo tinggi itu diakhiri dengan jaringan Semenyo pada minit ke-43 apabila pemain itu melepaskan rembatan deras untuk menewaskan Roefs dan menjaringkan gol pertamanya musim ini.

Pertahanan City, Marc Guehi, tersilap langkah ketika cuba mendapatkan hantaran Cherki sebelum bola melantun ke arah Semenyo. Penyerang Ghana itu kemudian melepaskan rembatan jarak dekat untuk menjaringkan gol.

Semenyo sekali lagi mencetak gol pada minit ke-52 apabila menyambar hantaran Cherki sebelum melakukan penyudah tenang selepas sekali lagi pertahanan Sunderland melakukan kesilapan.

PENYERANG Norway Manchester City, Erling Haaland meraikan jaringan gol kelima bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Sunderland di Stadium Etihad, Manchester, barat laut England, sebentar tadi. Foto AFP

Ketika City dilihat berpeluang melakar kemenangan besar, Brobbey melengkapkan hatrik hanya dua minit kemudian.

Hantaran Nilson Angulo sudah bergerak menuju ke gawang, namun Brobbey memastikan Guehi tidak sempat mengeluarkan bola sebelum menolaknya masuk.

Dalam tempo permainan yang terus rancak, pertahanan City, Ruben Dias, hampir menghadiahkan gol penyamaan kepada Sunderland apabila secara tidak sengaja mengarahkan bola ke gawang sendiri sebelum sempat mengeluarkannya.

Haaland akhirnya memastikan City boleh menarik nafas lega pada minit ke-81 apabila menyudahkan peluang di tiang jauh dengan penyudah tajamnya untuk menjaringkan gol ketujuh dalam enam perlawanan musim ini. – AFP

Arsenal dibelasah Brighton, Spurs tewas lagi

LONDON, United Kingdom: Permulaan sempurna Arsenal dalam mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir selepas dibelasah 3-0 oleh Brighton pada