SEMPENA bulan Ogos sebagai bulan kemerdekaan negara, elok kita mengimbau pejuang-pejuang menentang penjajah di Sarawak. Kali ini saya akan membawa pembaca melihat satu perjuangan ketua orang Iban yang digelar Raja Darat yang berani melawan James Brooke. Beliau yang dimaksudkan itu adalah Rentap atau Rentap Tanah Kudi Menoa. Nama sebenar beliau adalah Libau atau Libau Panggau Dara. Ketika kerajaan Brooke dibentuk di Kuching, Rentap telahpun menetap di Skrang.
Pertembungan beliau dengan Raja James Brooke bermula apabila kerajaan Brooke mula meluaskan penguasaannya ke atas Sungai Batang Lupar, Sungai Saribas, Sungai Skrang dan Sungai Kalaka. Kerajaan Brooke melihat kedudukannya tidak akan selamat jikalau tidak menguasai sungai-sungai tersebut. Oleh itu usaha dibuat oleh kerajaan Brooke adalah menawan semua sungai yang bersempadan dengan kerajaannya. Raja James Brooke menggunakan isu lanun untuk menjustifikasi peranan beliau untuk menawan sungai-sungai ini.
Pertembungan Awal
Usaha awal Kerajaan Brooke ini membawa kepada serangan ke atas kedudukan penduduk di sungai-sungai tersebut.
Pertembungan pertama antara tentera Brooke dan Rentap berlaku pada tahun 1844 di Karangan Kris. Kedatangan tentera Brooke di Karangan Kris dikejutkan dengan serangan hendap oleh pengikut Rentap. Akibatnya ketua kumpulan tentera Brooke iaitu Steward dan Dato Patinggi Ali berserta 29 terkorban. Serangan mengejut ini dibalas dengan tembakan senapang dan roket ke atas pihak lawan yang sempat melarikan diri.
Kerajaan Brooke melakukan persiapan lebih rapi dengan melakukan serangan mengejut ke atas lawannya di Sungai Skrang, Sungai Saribas dan Sungai Batang Lupar. Hasilnya membawa kepada Pertempuran Beting Maru pada tahun 1849. Kesan daripada serangan ini membawa kepada pembinaan beberapa kubu Brooke seperti di Lingga dan Skrang.
Penyerahan Sungai Skrang
Usaha membina kubu ini adalah untuk mengawal pergerakan musuh Brooke walaupun sungai-sungai ini bukan di bawah pentadbiran Brooke. Rentap yang berada di Skrang pula beranggapan tindak-tanduk Raja Brooke ini telah mencabar kedudukannya di Skrang. Ia merupakan campur tangan kerajaan Brooke dalam kawasan bukan milik kerajaan Brooke.
Akibatnya Rentap mengumpul kekuatan pasukannya untuk menyerang kubu Brooke di Skrang. Mendengar berita ini menyebabkan pegawai Brooke di Skrang iaitu Brereton meminta bantuan dari rakannya di Lingga iaitu Alan Lee untuk mempertahankan kedudukannya di Skrang. Serangan pada tahun 1853 itu walaupun gagal menawan kubu Skrang tetapi membawa kepada kematian Alan Lee.
Untuk menguatkan kedudukannya, Raja James Brooke telah pergi ke Brunei untuk meminta Sultan Mumin menyerahkan Sungai Sadong, Sungai Batang Lupar, Sungai Skrang, Sungai Saribas dan Sungai Kalaka kepada beliau. Tekanan daripada kerajaan Brooke ini menyebabkan pada Ogos 1853 kesemua sungai yang dituntut itu telah diserahkan kepada kerajaan Brooke.
Perdamaian
Berbalik di Skrang, Raja James Brooke mengambil pendekatan berdamai dengan Rentap. Ini kerana sokongan daripada tentera British telah ditarik balik dan beliau tidak mampu berdepan dengan lawannya dengan kekerasan seperti dilakukan terdahulu.
Oleh itu pada Disember 1853 beliau bersama rombongannya pergi ke Skrang dan berunding dengan ketua-ketua orang Iban termasuk Rentap. Rundingan yang berlangsung selama tiga hari itu tidak menghasilkan jalan perdamaian yang diharapkan oleh Raja James Brooke.
Kegagalan melakukan rundingan itu membawa kepada pilihan kekerasan. Usaha ini dilakuan dengan berhati-hati dan penuh dengan strategik bagi melumpuhkan kekuatan lawan. Pada April 1854, satu pasukan di bawah Charles Brooke dan Brereton ditugaskan menyerang penyokong Rentap iaitu Apai Dendang.
Serangan Pertama
Pada Ogos 1854 pula persediaan telah dibuat untuk menyerang kedudukan Rentap di Sungai Lang dan kemudian kubu Rentap di Bukit Sadok. Walaupun serangan di Sungai Lang ini berjaya namun Rentap sempat melarikan diri ke Bukit Sadok.
Seterusnya perancangan untuk menyerang Bukit Sadok terpaksa dibatalkan kerana keenganan tentera Iban untuk meneruskan serangan, dan pada masa yang sama bekalan makan dan bekalan senjata telah mula menunjukkan kekurangan.
Persiapan untuk menyerang kubu Rentap di Bukit Sadok mengambil masa yang agak lama untuk digerakkan iaitu pada 6 Jun 1856. Usaha awal ini diketuai oleh Charles Brooke dengan tektik melumpuhkan bekalan makanan pihak lawan.
Usaha ini dilakukan dengan memusnahkan hasil tanaman di sekitar Bukit Sadok. Selepas itu usaha dilakukan dengan mendaki Bukit Sadok. Selepas lapan hari bertahan dan mengepung kubu Rentap ini maka tentera Brooke terpaksa berundur.
Kejayaan menghalang tentera Brooke menawan Bukit Sadok menaikkan imej Rentap sebagai seorang pahlawan gagah berani. Akibatnya ramai penduduk Iban di Skrang dan Saribas mula menyokong beliau. Dari situ Rentap digelar sebagai Raja Ulu atau Raja Darat.
Serangan Kedua
Kegagalan dalam serangan pertama ini tidak mematikan rancangan Raja James Brooke menundukkan Rentap. Beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk membuat persiapan menghadapi Rentap di Bukit Sadok.
Ekpedisi perang ini masih diketuai oleh anak buahnya Charles Brooke. Serangan kali kedua ini dilancarkan pada Ogos 1958. Persiapan awal dilakukan oleh tentera Brooke ini ialah membawa meriam besar untuk membedil kubu Rentap.
Sebuah kubu baharu di bina di Betong yang menjadi sebahagian daripada tektik pihak Brooke melawan Rentap.
Serangan kedua ini juga menghadapi kegagalan kerana Rentap dan pengikutnya amat berani dan bersemangat mengalahkan tentera Brooke. Kedatangan tentera Brooke ini dihujani dengan sumpitan damar beracun, lontaran batu dan tembakan senapang.
Akhirnya mereka terpaksa berundur semula ke Kuching. Kekalahan kali kedua ini membuat kegembiraan dalam kalangan pengikut Rentap dengan kata-kata, “bawa apa saja senjata dari Eropah, kami tidak takut.”
Serangan Terakhir
Selang beberapa tahun kemudian iaitu pada Oktober 1861, Charles Brooke membuat persiapan rapi untuk mengalahkan Rentap di Bukit Sadok. Belajar daripada kekalahan sebelum ini beliau memastikan persiapan ini tidak ada kelemahannya.
Kali ini tentera Brooke dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata seperti meriam, ubat bedil, tombak dan pedang. Tentera Brooke juga terdiri daripada 20 orang Cina yang ditugaskan membuat jalan dan membersihkan halangan-halangan yang dihadapi oleh tentera Brooke.
Menariknya tentera Brooke ini bukan sahaja dari kalangan orang tempatan tetapi beberapa orang Afrika yang dikenali sebagai Sidi Boy oleh Charles Brooke juga terlibat.
Serangan kali ketiga ini sungguh sengit. Meriam yang dibawa oleh tentera Brooke yang dikenali sebagai Bujang Sadong telah membedil sebanyak 17 kali ke atas kubu Rentap. Akhirnya berjaya merobek kubu tersebut.
Rentap ketika itu tidak panik tetapi terus menentang tentera Brooke tetapi keadaan tidak menyebelahi beliau dan akhirnya beliau berundur ke Bukit Lanjak dan seterusnya ke Entabai, Kanowit. Beliau kemudiannya menetap di Sungai Wak, Julau.
Manakala kubu yang beliau tinggalkan itu telah dibakar oleh pihak Brooke. Kejayaan menawan kubu di Bukit Sadok ini menandakan berakhirnya penentangan Rentap selama 17 tahun.
Rentap yang berundur itu pula tidak lagi melakukan usaha membalas tindakan pihak Brooke. Beliau dan keluarganya serta pengikutnya terus tinggal di Sungai Wak, Julau tanpa gangguan daripada kerajaan Brooke. Rentap dikatakan meninggal dunia pada sekitar tahun 1870an.