SIBU: Selepas diisytihar Zon Hijau pada 24 April yang lalu, Sibu kembali dikategorikan sebagai Zon Kuning selepas mencatatkan satu kes positif Covid-19, Ahad lalu.
Sehubungan itu, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee mengingatkan penduduk setempat untuk mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang masa termasuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hanya kerana lekuk jangkitan Covid-19 telah dilandaikan, itu tidak bermaksud kita telah keluar dari zon bahaya. Kita bimbang akan gelombang kedua (yang mungkin menyerang).
“Itulah sebabnya mengapa kerajaan negeri kekal dengan PKP kerana kami tidak mahu membebankan barisan hadapan (dengan lebih banyak kes baharu) terutama petugas di hospital,” katanya.
Menurut beliau, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pernah berkata, “R-Naught” atau kadar kebolehjangkitan adalah 0.7 dengan pada awal PKP, R-Naught negara adalah 3.557.
Jelasnya, jika R-Naught di bawah 1 – bermaksud penyakit itu masih akan menjangkiti seseorang tetapi terkawal.
“Ingatlah, itu tidak bermaksud tidak ada lagi jangkitan. Masih ada jangkitan tetapi ia masih terkawal,” katanya.
Beliau menambah, jika (R-Naught) lebih dari 1, itu masih dapat menyebabkan kenaikan ‘exponential’ dalam jumlah kes baharu dan itulah yang tidak diinginkan.
Beliau menyatakan bahawa setakat ini, keadaan terkawal berdasarkan R-Naught.
Namun, beliau menasihatkan penduduk setempat agar tidak panik walaupun Sibu kini telah kembali ke Zon Kuning.