MIRI: Tindakan membakar sampah hampir mengundang padah apabila api merebak ke sebuah rumah di Taman Fuu Tee, Lorong 5, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.10 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng tiba di lokasi pada 3.23 petang.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran membabitkan pembakaran sampah yang turut merebak ke struktur rumah dengan anggaran dua peratus terbakar.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh orang awam menggunakan air paip sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.
Pasukan bomba tidak menjalankan operasi pemadaman sebaliknya membuat pemantauan keselamatan bagi memastikan tiada lagi sumber api di lokasi.
Operasi dikawal pada 3.26 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 4.00 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Oleh Liong Chai Ling





