BETONG: Sebanyak 482 kotak air minuman diagihkan kepada 241 penduduk di tiga buah rumah panjang di kawasan Layar menerusi operasi bantuan bekalan air bersih susulan keadaan kemarau yang menjejaskan bekalan air penduduk.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata bantuan itu dilaksanakan bagi memastikan keperluan asas penduduk yang berdepan kekangan bekalan air terus mendapat perhatian sewajarnya.
Operasi yang berlangsung semalam itu melibatkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak (UKPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Daerah.
Tiga lokasi yang menerima bantuan ialah Rumah Panjang Begumbang dan Rumah Panjang Penyulok di Layar serta Rumah Panjang Penyuin. Di Rumah Panjang Begumbang, sebanyak 164 kotak air minuman disalurkan kepada 18 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 82 penduduk.
Rumah Panjang Penyulok pula menerima 266 kotak air minuman untuk 32 KIR yang melibatkan seramai 133 penduduk, manakala Rumah Panjang Penyuin menerima 52 kotak bagi memenuhi keperluan tujuh KIR melibatkan 26 penduduk.
Secara keseluruhan, bantuan tersebut memberi manfaat kepada 57 KIR dan 241 penduduk yang terjejas akibat kekangan bekalan air berikutan keadaan kemarau yang melanda kawasan berkenaan.
Operasi yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang itu turut disokong aset logistik pelbagai agensi, termasuk sebuah kenderaan penyelamat ringan (LRV) APM, tiga kenderaan pacuan empat roda UKPS dan empat kenderaan pacuan empat roda JKR.
Seramai 34 petugas digerakkan bagi memastikan proses penghantaran serta pengagihan bantuan berjalan lancar.
Pergerakan pasukan bermula pada 7.35 pagi menuju ke RTC Layar sebelum bekalan air dimuatkan ke kenderaan pacuan empat roda pada 10.45 pagi di Pasar Debak. Konvoi kemudiannya bergerak pada 10.55 pagi menuju ke rumah panjang yang terjejas.
Operasi berkenaan memperlihatkan kerjasama bersepadu antara agensi dalam menangani kesan kemarau, khususnya bagi membantu penduduk di kawasan rumah panjang yang berdepan gangguan atau kekangan bekalan air.
Usaha berterusan seperti ini penting bagi memastikan bantuan keperluan asas dapat disampaikan dengan cepat dan teratur kepada masyarakat yang memerlukan.
Oleh Adi Safarman




