LIMBANG: Pengambilan tanah individu terpaksa dilakukan dalam memberi laluan kepada projek pembangunan inftastruktur untuk rakyat.
Sehubungan itu rakyat perlu memahami perkara ini kerana setiap yang dilakukan memerlukan tapak untuk pembangunan demi kepentingan awam.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semua tanah yang diambil ini akan dinilai mengikut pasaran semasa dan tanaman yang terjejas juga akan dinilai mengikut spesifikasi dan kategori yang sepatutnya.
“Pengambilan tanah ini adalah bertujuan untuk melaksana projek pembangunan tujuan kepentingan awam, memberi kemudahan kepada masyarakat keseluruhannya.
“Kerajaan Negeri bersetuju untuk menilai semula kadar pampasan untuk tanaman di tanah yang diambil kerajaan mengikut pasaran semasa,” katanya, pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bahagian Limbang di sini petang semalam.
Turut sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Penguasa Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu menambah, kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ianya melibatkan tanah berhak milik ataupun tertakluk tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk melaksana infrastruktur dan utiliti selain menyedia prasarana lebih baik.
“Ini adalah manifestasi aras pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,”ujarnya.
Melalui pembangunan, kawasan dapat dimajukan, pembinaan jalan untuk memudahkan hubungan dengan satu kawasan dengan yang lain sekali gus membolehkan masyarakat membuka tanah untuk aktiviti sosioekonomi, pasaran lebih baik, sosial, pendidikan, pembinaan sekolah dan kemudahan lain.
“Pembinaan jalan ini akan memudahkan setiap kawasan dapat dihubung dengan jalan raya, utiliti, telekomunikasi, sekolah, kesihatan, aktiviti ekonomi, pembinaan parit dan sebagainya,” jelasnya.
Menurutnya lagi kerajaan tidak mengambil tanah secara percuma sebaliknya berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Tanah diambil balik akan diberi pampasan, berdasarkan penilaian daripada JTS.
“Kadar pampasan ini dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman, struktur binaan, saiz tanah mengikut nilai semasa,” tegasnya.
Sejumlah RM1.2 juta pampasan diserahkan membabitkan 41 orang penerima bagi Projek Jalan Baharu dari Nanga Medamit ke Rumah Aling.
Oleh ADENG EDRUS