BUENOS AIRES, Argentina: Lionel Messi disenaraikan dalam skuad Argentina untuk aksi persahabatan menentang Benin pada 6 Oktober, perlawanan yang akan menjadi penampilan perpisahannya selepas mengumumkan persaraan daripada peringkat antarabangsa bulan lalu.
Pemain berusia 39 tahun itu pada Ogos lalu berkata beliau akan bersara daripada tugas antarabangsa bersama Argentina selepas beraksi di peringkat antarabangsa selama dua dekad, termasuk membantu pasukan itu menjuarai Piala Dunia 2022 serta Copa America pada 2021 dan 2024.
“Kami membuat keputusan untuk menjemput pemain terbaik dunia, ikon pasukan kebangsaan kami, kapten kami, Lionel Andres Messi, supaya beliau dapat menerima penghormatan perpisahan yang sewajarnya pada 6 Oktober di sini di Argentina,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina, Claudio Tapia.
Perlawanan menentang Benin akan berlangsung di Stadium Monumental milik River Plate di Buenos Aires yang mampu menampung 85,000 penonton.
Tapia turut menjemput semua pemain Argentina yang menjuarai Piala Dunia 2022 untuk bersama Messi dalam acara yang disifatkannya sebagai detik “tidak dapat dilupakan”.
Argentina akan memulakan siri tiga perlawanan persahabatan menentang Bolivia pada 30 September di Cordoba, iaitu perlawanan pertama mereka sejak tewas kepada Sepanyol pada final Piala Dunia, sebelum menentang Burkina Faso di Buenos Aires pada 3 Oktober.
Messi disenaraikan dalam skuad bagi perlawanan ketiga menentang Benin dan dijangka melakukan penampilan ke-208 serta terakhirnya bersama pasukan kebangsaan. Beliau merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina dengan 125 gol.
Susulan kematian bapanya, Jorge, bulan lalu, Messi berkata beliau mempunyai “keraguan serius” untuk terus bermain bola sepak dalam apa jua bentuk “untuk tempoh yang lebih lama”.
“Ia satu keputusan yang menyakitkan dan masih menyakitkan jauh di sudut hati saya, tetapi saya faham bahawa inilah masa yang tepat,” kata Messi ketika mengumumkan pengakhiran kariernya bersama Argentina.
Kontraknya bersama kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, berlangsung sehingga penghujung musim 2028.
Bulan lalu, FIFA mengarahkan Argentina mengadakan perlawanan di tempat sendiri seterusnya dengan kapasiti penonton dikurangkan kepada 50 peratus susulan pelanggaran kod tatatertib berkaitan penggunaan acara sukan untuk mengadakan demonstrasi yang tidak berkaitan dengan sukan.
Selepas Argentina menewaskan England 2-1 dalam separuh akhir Piala Dunia yang sengit pada Julai, beberapa pemain mengangkat sepanduk bertulis: “Falkland milik Argentina”.
Perlawanan persahabatan itu juga dijangka diambil kira dalam penggantungan yang dikenakan susulan insiden selepas Argentina tewas kepada Sepanyol pada final Piala Dunia.
Pemain tengah Leandro Paredes digantung 10 perlawanan, manakala pertahanan Nahuel Molina digantung tujuh perlawanan dan Thiago Almada satu perlawanan. – AFP





