Sarawak mahu cipta cip sendiri, tiada lagi sekadar pengguna

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak pada Majlis Ekosistem Pembangunan Bakat Utama (Flagship) Semikonduktor Sarawak di CENTEXS Santubong, hari ini.

SANTUBONG: Sarawak terus memperkukuh keupayaan teknologi semikonduktor tempatan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan reka bentuk cip serta bakat berkemahiran tinggi dalam bidang berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak perlu bergerak daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta, pemilik dan pengeluar teknologi, khususnya dalam reka bentuk cip semikonduktor.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Majlis Ekosistem Pembangunan Bakat Utama (Flagship) Semikonduktor Sarawak di CENTEXS Santubong, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran cip hasil reka bentuk pelajar menerusi Pertandingan Reka Bentuk IC SMD 2025 yang difabrikasi di X-FAB Foundry di Kuching.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan potensi anak muda Sarawak apabila diberi peluang untuk mereka bentuk, bereksperimen, menyelesaikan masalah dan menghasilkan teknologi.

“Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih bermakna ialah cip itu direka oleh pelajar kita,” katanya.

Abang Johari berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi jangka panjang Sarawak untuk membangunkan teknologi dan produk semikonduktor milik sendiri, memperkukuh bakat tempatan serta meningkatkan penguasaan dalam rantaian nilai semikonduktor.

Katanya, daya saing Sarawak pada masa depan bukan hanya bergantung kepada penggunaan teknologi, sebaliknya keupayaan mencipta, memiliki dan mengkomersialkan teknologi menerusi harta intelek, produk serta aplikasi untuk pasaran global.

Beliau berkata, SMD Semiconductor yang ditubuhkan pada 2022 kini memasuki Fasa Dua Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030, Beyond Moore’s Law, dengan tumpuan beralih kepada pembangunan teknologi, harta intelek, pengkomersialan dan nilai ekonomi lebih tinggi.

“Kita mahu bergerak daripada pengguna teknologi kepada IC designer, inovator, pemilik dan akhirnya pengeluar teknologi,” katanya.

Abang Johari berkata, aspirasi semikonduktor Sarawak turut dikaitkan dengan peluang industri global menerusi Memorandum Perjanjian antara SMD dan Linyang Energy Group, syarikat tersenarai di Bursa Saham Shanghai yang terlibat dalam meter pintar dan sistem penyimpanan tenaga bateri.

Katanya, kerjasama itu membuka ruang untuk menghubungkan keupayaan tempatan dengan pemain industri antarabangsa, sekali gus memberi peluang kepada bakat dan perniagaan Sarawak menceburi aktiviti bernilai tinggi.

Beliau turut menyambut baik penerokaan kerjasama antara SMD dan syarikat pemula dari Singapura, ZETRO, dalam teknologi berkaitan aeroangkasa, selain penubuhan Makmal Industri SMD di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memperkukuh keupayaan reka bentuk IC dan penyelidikan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan memberi peluang lebih luas kepada pelajar pascasiswazah dan jurutera muda untuk bekerjasama dengan industri serta membangunkan teknologi yang dapat memperkukuh kedudukan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor.

Abang Johari berkata, pembangunan keupayaan semikonduktor dan reka bentuk cip tempatan turut menyokong sektor strategik lain termasuk kecerdasan buatan, pembuatan maju, tenaga boleh diperbaharui, elektronik kuasa, aeroangkasa dan teknologi satelit.

Katanya, Sarawak turut meneroka pembangunan satelit Orbit Bumi Rendah (LEO) sendiri yang disasarkan untuk dilancarkan menjelang 2030 bagi membolehkan negeri memperoleh data sendiri untuk perancangan strategik dan aktiviti ekonomi pada masa depan.

Beliau berkata, Malaysia sebelum ini memberi tumpuan besar kepada segmen hiliran industri semikonduktor termasuk pemasangan cip, manakala Sarawak kini mahu menyumbang dalam segmen huluan (front-end) menerusi teknologi, reka bentuk dan cip sendiri.

“Kita mahu melihat cip yang direka oleh rakyat Sarawak digunakan di seluruh dunia, termasuk berpotensi dalam satelit dan aplikasi teknologi maju pada masa depan.

“Marilah kita bermimpi. Impian kita hari ini ialah mempunyai reka bentuk cip sendiri, dicipta oleh anak Sarawak tetapi digunakan oleh seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari menyokong cadangan untuk memperluas Program Penguasaan Semikonduktor CENTEXS-SMD ke seluruh negara, dengan menegaskan kerjasama lebih erat antara kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, institusi, akademia dan industri penting bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia serta mempersiapkan bakat muda menghadapi peluang masa depan.

Shikin Mahmud