KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Jun 2021 berjumlah RM124.4 bilion, meningkat sebanyak 6.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata nilai jualan tersebut turut meningkat 1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 41.6 peratus terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.
“Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (9.0 peratus) disokong oleh industri pembuatan produk makanan.
“Subsektor produk elektrik dan elektronik (2.2 peratus) turut merekodkan peningkatan terutamanya dalam industri pembuatan kelengkapan elektrik,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Uzir berkata jumlah pekerja sektor pembuatan pada Jun 2021 adalah seramai 2,215,420 orang, meningkat 1.2 peratus berbanding 2,188,142 orang pada Jun 2020.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh pekerja dalam produk elektrik dan elektronik (4.4 peratus) serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.8 peratus),” katanya.
Laporan tersebut turut menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,360.3 juta, meningkat 3.5 peratus atau RM247.2 juta pada Jun 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Pada masa sama, nilai jualan per pekerja meningkat 5.2 peratus kepada RM56,135 berbanding bulan sama pada 2020 sebanyak RM53,374 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,322 pada Jun 2021.
Pada suku kedua 2021, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 33.9 peratus kepada RM377.7 bilion berbanding suku tahun sama pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (47.3 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (46.3 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (30.0 peratus).
“Bilangan pekerja serta gaji dan upah, masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 6.0 peratus pada suku kedua 2021,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi nilai jualan pada separuh pertama 2021 turut merekodkan peningkatan 20.1 peratus kepada RM740.6 bilion berbanding tempoh sama pada 2020. – Bernama