KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kes berkenaan terhadap Muhyiddin, 79, yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu masih berdepan tiga pertuduhan salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta.
Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk suapan berjumlah RM200 juta bagi Bersatu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Beliau turut dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan terbabit dilakukan atau RM5 juta, yang mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Hakim Noor Ruwena berkata apabila pihak pendakwaan menggunakan peruntukan Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah, perkara itu membawa maksud bahawa pihak pendakwaan tidak lagi berhasrat untuk mendakwa tertuduh atas pertuduhan berkenaan.
“Dalam kes ini, pihak pendakwaan tidak memberikan apa-apa alasan bagi permohonan tersebut selain menyatakan bahawa mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pertuduhan, sebagaimana yang telah dinyatakan pihak pendakwaan tadi, namun perkara tersebut diserahkan kepada budi bicara mahkamah.
“Sehubungan dengan itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada empat pertuduhan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Akram memohon perintah daripada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi keempat-empat pertuduhan itu selepas meneliti keseluruhan kedudukan kes.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, permohonan pihak pendakwaan hari ini adalah terhad kepada pertuduhan-pertuduhan tersebut sahaja dan tidak melibatkan pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh,” katanya. – Bernama





