KUCHING: Penglibatan sektor swasta dalam menyediakan pusat perkembangan dan intervensi awal mampu melengkapi usaha kerajaan Sarawak memperluaskan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan mengiktiraf kepentingan intervensi awal dalam meningkatkan tahap perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan mungkin memerlukan sokongan tambahan dalam aspek komunikasi, tingkah laku, pembelajaran, interaksi sosial dan perkembangan keseluruhan.
“Kerajaan memerlukan sokongan sektor swasta dan masyarakat sivil untuk melengkapi usaha kita serta memastikan perkhidmatan dapat sampai kepada lebih ramai masyarakat secara berkesan dan cekap.

“Kita khususnya mengalu-alukan penyertaan entiti swasta yang mempunyai keupayaan dalam bidang ini,” katanya ketika berucap pada pembukaan Estella Child Development Centre di Urban Residences, hari ini.
Fatimah berkata, kerajaan Sarawak turut menyokong Estella Child Development Centre dan program intervensi awalnya sebagai antara pusat pilihan dalam membantu kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme, kelewatan pertuturan, Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) serta keperluan perkembangan saraf lain.
Katanya, kerajaan juga boleh meneroka kerjasama lanjut dengan pusat berkenaan bagi memperluaskan program intervensi dan perkhidmatan jangkauan, selain latihan kepada ahli terapi intervensi awal yang dapat memberikan sokongan kepada kanak-kanak di pelbagai kawasan di Sarawak.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan akses kepada intervensi berkualiti tidak hanya ditentukan berdasarkan lokasi tempat tinggal seseorang kanak-kanak.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, kerajaan menyedari kos intervensi awal dan terapi boleh menjadi beban kepada sesetengah keluarga khususnya daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40).
Justeru, peluang kerjasama bersama Estella boleh diteroka bagi menyediakan bantuan atau sokongan kewangan menerusi pengaturan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersesuaian kepada keluarga B40 yang layak.
“Kanak-kanak berkeperluan khas tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan cabaran yang mereka hadapi.
“Dengan intervensi, sokongan, galakan dan peluang yang tepat, mereka mampu mencapai perkembangan yang membanggakan serta menjalani kehidupan yang bermakna,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama Estella Child Development Centre, Dr Isaac Siow Hee Chieh berkata, pusat berkenaan ditubuhkan sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR Estella Medical Group Sarawak bagi meningkatkan akses kepada sokongan perkembangan berkualiti untuk kanak-kanak dan keluarga.
Pusat itu menyediakan program intervensi dan perkembangan bagi kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme (ASD), ADHD, kelewatan pertuturan dan bahasa, kelewatan perkembangan global (GDD), disleksia, cerebral palsy serta cabaran perkembangan lain.
“Setiap kanak-kanak mempunyai potensi. Tanggungjawab kita adalah menyediakan persekitaran yang sesuai, sokongan yang tepat dan peluang untuk mereka berkembang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Menurut Dr Isaac, pusat itu menggunakan pendekatan pelbagai disiplin dan holistik dengan menggabungkan intervensi terapeutik konvensional, teknologi terapi terpilih dari Eropah serta program perkembangan berstruktur.

Antara program yang disediakan ialah intervensi tingkah laku, terapi bermain, perkembangan pertuturan dan bahasa, pembelajaran interaktif, program rangsangan otak serta aktiviti permainan interaktif mengikut keperluan perkembangan setiap kanak-kanak.
“Menerusi intervensi awal dan sokongan berterusan, kami mahu membantu kanak-kanak meningkatkan keupayaan komunikasi, pembelajaran, tingkah laku, sosial dan fungsi harian supaya mereka lebih yakin serta berdikari,” katanya.
Estella turut menyasarkan untuk membantu kanak-kanak dengan cabaran perkembangan supaya lebih bersedia mengikuti pendidikan arus perdana dan menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial, selain meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.
Sebagai sebahagian daripada komitmen CSR, Estella Medical Group turut menyalurkan sebahagian pendapatannya bagi menyokong operasi dan pembangunan Estella Child Development Centre.
Oleh Norman B





