CP Datuk Mohamad Zainal dilantik Pengarah Pengurusan PDRM

Facebook
WhatsApp
NAIK PANGKAT... CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah yang menerajui Kontinjen PDRM Sarawak sejak September tahun lalu bakal memulakan tugas sebagai Pengarah Pengurusan PDRM di Bukit Aman pada pertengahan Oktober ini.

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kontinjen PDRM Sarawak menyifatkan pelantikan itu sebagai pengiktirafan bermakna terhadap kepimpinan, pengalaman luas, integriti, komitmen dan dedikasi beliau sepanjang berkhidmat dalam pasukan polis.

Menurutnya, Mohamad Zainal menunjukkan kepimpinan kukuh sepanjang menerajui Kontinjen PDRM Sarawak, selain memberi sumbangan besar terhadap aspek pentadbiran, keberkesanan operasi dan pembangunan keseluruhan pasukan di negeri ini.

“Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan terhadap keupayaan serta kepimpinan beliau,” katanya

Kontinjen PDRM Sarawak turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan khidmat beliau serta mendoakan kejayaan berterusan dalam menjalankan tanggungjawab baharu di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman.

Mohamad Zainal yang berasal dari Limbang dilantik menerajui Kontinjen PDRM Sarawak pada September tahun lalu dan dijangka mula bertugas di Bukit Aman pada pertengahan Oktober ini.

Sepanjang menerajui Kontinjen PDRM Sarawak, beliau turut memainkan peranan penting dalam usaha membanteras kegiatan dadah dan kumpulan gangster di negeri ini.

Oleh Connie Chieng