Integriti, perancangan mengikut keperluan kawasan penting dalam pembinaan kemudahan kesihatan

Facebook
WhatsApp
PROJEK RAKYAT...Awang Tengah pada majlis menyaksikan penyerahan projek hospital baru Lawas daripada JKR kepada KKM.

LAWAS: Kemudahan kesihatan merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Masalah melibatkan kelewatan pelaksanaan projek sebelum ini juga amat dikesali kerana memberi kesan kepada harapan serta keperluan rakyat terhadap kemudahan kesihatan yang lebih baik.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihak pelaksana di peringkat Persekutuan perlu memahami faktor geografi dan cabaran di Sarawak yang luas sebelum melaksanakan projek kemudahan kesihatan.

“Bagi kita, kelewatan dari segi pelaksanaan projek itu berkait rapat dengan integriti kerana ia melibatkan kos. Kedua, kelewatan pelaksanaan projek-projek ini menafikan rakyat kita kemudahan-kemudahan yang lebih baik untuk perkhidmatan.

“Terima kasih banyaklah Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Bagi saya, dalam kita mempertingkatkan kemudahan kesihatan di Sarawak ini, bukan sahaja seluruh Sarawak mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung.

“Sarawak dan Sabah kurang lebih sama keadaannya, tetapi antara daerah dan kawasan juga berbeza keperluannya. Macam Lawas, macam Kapit, macam Baram, di Long Lama, Ba’kelalan, Long Semadoh, Bario, semuanya berbeza-beza.

“Jadi, kalau pendekatan kita berdasarkan kepada keseragaman semata-mata, tidak boleh jalan,” katanya pada majlis penyerahan projek Hospital Lawas daripada Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di bangunan baharu Hospital Lawas, hari ini.

Beliau mahu kemudahan kesihatan di Sarawak terus diberi perhatian secara khusus dengan mengambil kira keperluan dan keadaan setempat, bukan sekadar berdasarkan kajian atas kertas di Putrajaya semata-mata.