Ekopelancongan, belia pemangkin baharu pembangunan ekonomi Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi ketika menghadiri Program Segulai Sejalai Pemimpin Rakyat di Rumah Jubang Tumpal, Kaong Ulu, SPS Fasa 1, Lubok Antu semalam. Foto Roy Angau Gingkoi

LUBOK ANTU: Potensi ekopelancongan dan pengupayaan golongan belia perlu diberi perhatian sebagai antara pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan komuniti di kawasan Lubok Antu.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, berkata kekayaan alam semula jadi yang dimiliki kawasan itu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai produk ekopelancongan yang mampu menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Menurutnya, pembangunan sektor berkenaan bagaimanapun perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira kepentingan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.

Beliau turut menekankan kepentingan peranan kelab belia sebagai wadah untuk memperkasa golongan muda, selain menjadi saluran bagi mengetengahkan isu dan keperluan mereka kepada pihak berkaitan.

“Golongan belia perlu diberi ruang dan sokongan supaya mereka dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan komuniti,” katanya.

PERKASA KOMUNITI… Roy Angau Gingkoi mengumumkan peruntukan keseluruhan RM258,000 bagi menyokong pembangunan serta memperkasakan aktiviti kemasyarakatan, wanita dan belia di Kaong Ulu. Foto Roy Angau Gingkoi

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Segulai Sejalai Pemimpin Rakyat di Rumah Jubang Tumpal, Kaong Ulu, SPS Fasa 1, dekat sini, semalam.

Program berkenaan menjadi platform bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selain membuka ruang kepada penduduk menyampaikan secara langsung isu serta keperluan pembangunan setempat.

Dalam majlis sama, Roy mengumumkan peruntukan keseluruhan RM258,000 bagi menyokong pembangunan serta memperkasakan aktiviti kemasyarakatan, wanita dan belia di Kaong Ulu.

Daripada jumlah itu, RM200,000 melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 diperuntukkan kepada Kaong Ulu, manakala RM30,000 melalui MRP disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaong Ulu.

Selain itu, RM8,000 diperuntukkan kepada Biro Wanita Kaong Ulu, RM5,000 kepada Kelab Belia Kaong Ulu dan RM15,000 kepada Persatuan Main Asal Batang Ai.

Roy turut merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Jubang Tumpal selaku tuan rumah, agensi kerajaan, ketua-ketua kaum, masyarakat, JKKK, Biro Wanita, Kelab Belia serta seluruh komuniti Kaong Ulu atas sambutan dan kerjasama menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap semangat Segulai Sejalai terus menjadi asas kepada kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat dalam memperkukuh pembangunan serta kesejahteraan komuniti di Lubok Antu.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Lunok Antu, DSP Pricha Azin; Pemanca Grang; Pengulu Temeling; Pengulu Apo; Pengulu Robert; Pengulu Johnson dan Pengulu Kunsil.

Oleh Adi Safarman