KOTA BHARU: Bidang pertanian mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia merupakan nilai yang positif, walaupun KDNK negara secara keseluruhannya menguncup berikutan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Cabaran yang dihadapi oleh sektor pertanian dalam meneruskan aktiviti pertanian untuk terus konsisten dalam pengeluaran makanan, terutamanya dalam situasi negara sekarang ini adalah tidak dinafikan.
“Namun, dengan adanya usaha kerajaan dengan kerjasama semua pihak yang bertanggungjawab, telah memastikan keadaan sentiasa terkawal,” katanya selepas Pelancaran Program myGAP Tanaman Bukan Makanan (myGAP.TBM) di Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Lundang di sini, semalam.
Pelancaran diadakan secara maya itu disertai 1,000 orang termasuk pegawai-pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI dan para petani dan usahawan bagi sektor tanaman dan orang awam.
Mengulas mengenai program myGAP.TBM, Che Abdullah berkata, pihaknya melancarkan program berkenaan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengusaha tanaman bukan makanan untuk meningkatkan lagi keberkesanan amalan pertanian baik dalam kalangan petani.
Katanya, pensijilan myGAP.TBM adalah bagi tanaman selain untuk makanan dan tidak digunakan dalam penyediaan makanan manusia serta haiwan.
“Sebagai contoh, industri florikultur, tanaman hiasan dan bunga-bungaan hiasan seperti pokok palma, pokok bunga, rumput landskap dan sebagainya. Malah dengan adanya sijil ini nanti ia dapat memudahkan akses ke pasaran antarabangsa. “Bagi peringkat permulaan, kita menyasarkan seramai 200 orang usahawan tanaman bukan makanan yang telah berdaftar di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman termasuk pengusaha di Cameron Highlands, Pahang akan memperoleh sijil ini menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.-Bernama