PETRA JAYA: Jabatan Pertanian Sarawak terus memperkasa warga kerjanya menerusi Program Membingkas Potensi Diri Sempena Pengiktirafan Khidmat Sokongan Pekerja Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS-KSP), Community Engagement di WRK Learning Development, Jalan Sultan Tengah, di sini semalam.
Program berkenaan menjadi wadah untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota khidmat sokongan atas sumbangan serta komitmen mereka dalam menjayakan perkhidmatan awam.
Selain itu, program tersebut turut memberi penekanan terhadap usaha memupuk semangat kebersamaan dan kerja berpasukan, di samping memperkukuh kemahiran komunikasi, kerjasama serta hubungan interpersonal dalam kalangan warga Jabatan Pertanian Sarawak.
Pengisian program dimulakan dengan ucapan Ketua Fasilitator, Ts. Siti Adibah Zulkepli, diikuti ucapan oleh Hishamuddin Hajmi, Pegawai Tadbir (Psikologi), Jabatan Pertanian Sarawak merangkap penceramah dan fasilitator Program SCS-KSP Jabatan Pertanian Sarawak.
Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang program, antaranya Pengstrukturan dan Ice Breaking dalam kelompok besar, Simulasi Bimbingan Kelompok 1 bertemakan Salam Kenal, Simulasi Bimbingan Kelompok 2 Mengenali Potensi Diri serta Aktiviti Pengukuhan melalui Menara Potensi 4K.
Aktiviti berkenaan bukan sahaja mencetuskan interaksi lebih erat antara peserta, malah memberi ruang kepada mereka mengenal pasti kekuatan diri, meningkatkan keyakinan serta mengasah kebolehan bekerja secara berkumpulan.
Secara keseluruhannya, program tersebut memberi manfaat positif kepada peserta dalam meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, keupayaan bekerja secara berpasukan serta kesedaran terhadap potensi masing-masing.
Program itu juga diharap menjadi platform berkesan dalam membentuk warga kerja yang lebih berdaya saing, berkeyakinan dan produktif, sekali gus mampu memberikan perkhidmatan berkualiti selaras dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Sarawak dan Jabatan Pertanian Sarawak.
Oleh Adi Safarman




