MCMC teliti laporan Anthropic, tentukan tindakan susulan

Facebook
WhatsApp
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan terkini yang diterbitkan oleh Anthropic dan sedang meneliti perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

MCMC dalam kenyataan berkata, perkara yang dinyatakan dalam laporan itu bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat suruhanjaya berkenaan.

“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, MCMC tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar serta memahami konteks isu yang dibangkitkan.

Katanya, berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Usaha melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawab MCMC.

“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” katanya.