Belanjawan 2027 perlu pastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati semua

Facebook
WhatsApp
PENASIHAT Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga yang juga Ex-Officio Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut hadir pada majlis perasmian Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 perlu menumpu kepada usaha memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan yang belum merasai impak pertumbuhan negara.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata walaupun prestasi makroekonomi negara ketika ini berada pada kedudukan baik, pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

“Pertumbuhan mesti dinikmati secara saksama. Bagi yang belum merasainya, insya-Allah kita dapat atasi isu ini melalui belanjawan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hab Komuniti Pandan di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu turut dibincangkan bersama-sama Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenal pasti keperluan yang perlu diberi perhatian.

Tengku Zafrul berkata meskipun inisiatif ekonomi kerajaan ketika ini menunjukkan penambahbaikan dan memberikan kesan namun, masih terdapat ruang untuk diperkemas menerusi sesi libat urus dengan rakyat, khususnya peniaga kecil dan pemain industri.

Belanjawan 2027 dijadual untuk dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada 9 Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata penyertaan Malaysia dalam BRICS sebagai negara rakan tidak bermakna negara terikat dengan mana-mana blok geopolitik.

Beliau berkata Malaysia kekal dengan pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak, selaras dengan Dasar Luar MADANI yang menekankan diplomasi aktif dan pragmatik.

“Kita hadir sebagai negara rakan BRICS kali ini, bukan ahli penuh lagi, jadi tidak ada isu keterikatan blok,” katanya ketika mengulas lawatan Anwar ke India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata BRICS juga perlu dilihat sebagai peluang ekonomi, bukan semata-mata dari sudut geopolitik, khususnya dari segi ruang kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, tenaga dan teknologi.

“Pendekatan Malaysia untuk bekerjasama dengan semua pihak bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi prinsip dasar luar negara sejak merdeka kerana kerajaan tidak pernah meletakkan semua kepentingan dalam satu bakul geopolitik,” katanya. – Bernama

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring dengan penurunan berterusan di Wall Street didorong oleh konflik Amerika Syarikat