KUCHING: Pameran Dagangan Sarawak 2026 bakal menghimpunkan usahawan dan pempamer tempatan serta antarabangsa bagi mengetengahkan pelbagai produk, perkhidmatan dan penyelesaian perniagaan dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Menurut kenyataan, STF 2026 merupakan anjuran Persatuan Pengilang Sarawak (SMA), yang akan berlangsung di Dewan Sukan dan Komuniti Ang Cheng Ho, Batu Kawah, di sini, bersempena Pesta Penemuan Padawan 2026.
Setiausaha Agung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SMA, Stephen Ang Teck Chai berkata, penganjuran kali ini turut disertai syarikat dari China dan Bangladesh.

Beliau berkata, acara itu menjadi platform kepada syarikat daripada pelbagai sektor untuk mempamerkan produk dan keupayaan masing-masing, selain membuka peluang kepada perniagaan tempatan membina jaringan serta meneroka potensi kerjasama.
“Antara sektor yang akan mengambil bahagian ialah makanan dan minuman, automotif, perbankan, pengangkutan, jentera, reka bentuk dan penyelesaian, keluli dan pembinaan, aluminium serta kerja kayu, jubin dan lantai, agropertanian, barangan plastik, telekomunikasi, sistem pemampat udara dan insurans.
“Pameran itu turut menampilkan demonstrasi secara langsung membabitkan sistem robotik serta elektro-pneumatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambanya, penganjur berharap acara itu bukan sahaja menjadi platform perniagaan, malah mampu menjadi acara komuniti yang menarik penyertaan orang ramai.
“Selain pameran, pelbagai aktiviti untuk keluarga, pelajar, usahawan dan orang ramai turut disediakan termasuk pertandingan catur, demonstrasi makanan, kelas membuat sushi, cabaran makan banyak, kelas robotik kecerdasan buatan (AI) dan cabutan bertuah.
“Lima gerai makanan dan minuman turut disediakan sepanjang acara berlangsung,” jelasnya.
Untuk rekod, STF 2026 disokong Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Sarawak Acara Perniagaan (BE Sarawak) dan SOCOE.
Pameran itu dibuka kepada orang ramai secara percuma dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada 2 dan 3 Oktober, manakala pada 4 Oktober ia berlangsung dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang.




