KOTA SAMARAHAN: Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran serta memenuhi keperluan industri yang semakin dinamik.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi pelbagai usaha, termasuk memperkukuh kurikulum, pendigitalan, tadbir urus serta kerjasama strategik bersama industri.
Menurutnya, pencapaian kebolehpasaran graduan POLYCC bagi 2025 juga berada pada tahap memberangsangkan, iaitu 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti.

“Peratus ini menunjukkan graduan POLYCC bekerja dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak 2026 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shamsuri berkata, minat terhadap pendidikan TVET turut menunjukkan peningkatan apabila seramai 32,513 pelajar mendaftar di politeknik bagi Sesi Akademik I 2026/2027, manakala 7,110 pelajar mendaftar di kolej komuniti.
“Peningkatan ini menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap sistem pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya.
Beliau berkata, POLYCC kini mempunyai 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara, dengan hampir 15,000 tenaga kerja serta enrolmen semasa melebihi 100,000 orang.

Di Sarawak sahaja, terdapat tiga politeknik dan enam kolej komuniti yang menyediakan pelbagai laluan pendidikan berasaskan kemahiran dan teknikal kepada pelajar.
Menurutnya, transformasi TVET POLYCC akan terus diperkukuh menerusi Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti (PSPKK) 2026 hingga 2035 yang memberi penekanan terhadap pemerkasaan tadbir urus, kurikulum, pendigitalan dan kerjasama industri.
Katanya, pelan tersebut bermatlamat melahirkan modal insan yang peka terhadap perubahan dinamik teknologi dan industri melonjakkan kebolehpasaran graduan serta memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan menerusi pembangunan bakat.
Pada majlis berkenaan, seramai 2,343 graduan POLYCC Zon Sarawak diraikan, terdiri daripada 1,984 graduan daripada 19 program diploma dan 359 graduan daripada 10 program sijil.
Majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari sehingga esok itu julung kali diadakan secara berpusat dengan menghimpunkan graduan daripada tiga politeknik, enam kolej komuniti dan sebuah kolej komuniti cawangan di Sarawak.
Oleh Norman B




