Belanjawan 2027: Tumpu tingkat pendapatan, kuasa beli miskin bandar – Penganalisis

Facebook
WhatsApp
Belanjawan 2027 perlu memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kuasa beli golongan miskin bandar, selain meneruskan bantuan bersasar sebagai jaringan keselamatan sosial jangka pendek.

SHAH ALAM: Belanjawan 2027 perlu memberikan penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kuasa beli golongan miskin bandar, di samping meneruskan bantuan bersasar sebagai jaringan keselamatan sosial jangka pendek.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tekanan yang dihadapi golongan miskin bandar perlu dilihat secara lebih menyeluruh kerana keperluan setiap individu dan keluarga berbeza, termasuk dari segi kos sara hidup, akses kepada perkhidmatan asas dan peluang meningkatkan taraf ekonomi.

“Bantuan tunai dan subsidi bersasar masih diperlukan bagi meringankan beban golongan berkenaan, namun sifatnya yang sementara memerlukan usaha lain dilaksanakan secara serentak untuk membantu mereka membina kehidupan yang lebih berdaya tahan.

“Antara langkah jangka panjang yang perlu diberi perhatian ialah pendidikan dan latihan, kesihatan, infrastruktur, keusahawanan, gaji progresif serta kadar gaji minimum bagi membantu golongan miskin bandar meningkatkan keupayaan dan pendapatan mereka,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata koordinasi antara kementerian dan agensi kerajaan juga penting bagi memastikan bantuan yang disediakan sampai kepada golongan sasaran, selain maklumat mengenai kemudahan berkenaan disampaikan dengan tepat.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata pendapatan boleh guna dan pendapatan benar ialah dua perkara yang perlu diberi perhatian dalam menilai kedudukan ekonomi isi rumah serta menentukan kelayakan menerima bantuan.

“Pendapatan benar ini bererti kita telah mengambil kira faktor kos sara hidup,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata gaji median pada Mac 2026 ialah RM3,027.27 sebulan, namun selepas mengambil kira Indeks Harga Pengguna (IHP), pendapatan benar ialah RM2,219.41, menunjukkan perbezaan RM807.86 yang mewakili kehilangan kuasa beli.

Situasi itu berbeza berbanding Januari 2022 apabila gaji median RM2,582 sebulan menghasilkan gaji median benar RM2,067.25 selepas ditolak IHP, dengan perbezaan kuasa beli sebanyak RM514.75.

“Ini bererti kehilangan kuasa beli semakin meningkat daripada RM514.75 pada Januari 2022 kepada RM807.86 pada Mac 2026.

“Jadi dasar kerajaan perlu melihat dua perkara, iaitu bukan sahaja peningkatan pendapatan tetapi juga bagaimana harga-harga barang dan perkhidmatan bergerak,” katanya.

Mengulas mengenai kos sara hidup yang perlu diberi perhatian, Mohd Afzanizam berkata antara komponen utama ialah harga makanan, sewa rumah, kos bahan api, perbelanjaan persekolahan anak serta bil elektrik, air dan Internet.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata persekitaran ekonomi yang berdaya saing, adil, telus dan cekap amat diperlukan bagi mengekang lonjakan harga secara tidak munasabah.

Pada masa sama, persaingan perniagaan yang sihat akan merangsang permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi, sekali gus menuntut sistem pendidikan negara melahirkan tenaga kerja berkualiti serta usahawan berinovasi.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata jaringan keselamatan sosial perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang melibatkan pelbagai institusi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan serta institusi zakat dan wakaf.

Jaringan berkenaan berperanan sebagai penyerap kejutan sekiranya berlaku kemelesetan, kenaikan harga bahan api global atau risiko geopolitik, selain membantu isi rumah menghadapi risiko pada peringkat mikroekonomi seperti kemalangan, kemerosotan kesihatan serta kemiskinan tegar dan relatif. – Bernama