MARUDI : Pembinaan jalan dari Marudi ke Long Panai / Long Terawan dan ke Mulu sepatutnya dijadualkan siap pada September 2021 ditunda pada 7 Februari 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mulu Dato Gerawat Gala berkata, kerja-kerja pembinaan jalan tersebut sudah lewat 35 peratus daripada jadual asal.
Dalam pada itu katanya, pihak kontraktor yang bertanggungjawab ke atas pembinaan jalan berkenaan telah memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diberi lanjutan masa akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, projek pembinaan jalan ini dengan kos RM43.5 juta sepanjang 6.7 kilometer di mana kerja-kerja dimulakan pada 25 March 2019 kini hanya siap 43.95 peratus.
“Saya berharap kerja-kerja pembinaan jalan tersebut tidak lagi tertunda selepas ini dan saya juga berharap pihak kontraktor dapat melakukan ‘catch up plan’ dan tiada kelewatan berpanjangan,” harapan Gerawat.
Beliau berkata demikian kepada pihak media dalam sidang khabar selepas diberi taklimat oleh pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya di tapak pembinaan jalan tersebut, Jalan Poyut di sini petang semalam.
Sehubungan itu menurut Gerawat yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, bahawa pihak kontraktor telah bersetuju dan berjanji untuk menambahkan beberapa buah mesin dan juga pekerja tambahan sebab sekarang ini kita sudah masuk fasa kedua PKP dan dibenarkan kerja sepenuh masa.
Turut Hadir Jurutera Awam NRO JKR Sarawak, Shahbuddin Abu Bakar.
Oleh JIKU JUGUONG