SFC, TRACE perkukuh penguatkuasaan hidupan liar menerusi sains forensik

Facebook
WhatsApp
KERJASAMA… Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Rangkaian Forensik Hidupan Liar TRACE memperkukuh kerjasama menerusi penyerahan peralatan khusus bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan hidupan liar di Sarawak. Foto SFC.

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Rangkaian Forensik Hidupan Liar TRACE terus memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan keupayaan forensik hidupan liar serta pengurusan siasatan jenayah hidupan liar di Sarawak.

Kerjasama yang berlangsung sejak 2022 hingga 2026 itu memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti operasi Makmal Forensik Hidupan Liar Sarawak (SWIF), termasuk peningkatan kompetensi pegawai dan penambahbaikan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS).

Usaha itu turut menyokong persediaan makmal bagi menghadapi penilaian pematuhan oleh Persatuan Sains Forensik Hidupan Liar (SWFS) bagi memastikan analisis kes hidupan liar memenuhi piawaian antarabangsa.

Selaras dengan usaha itu, TRACE turut menyerahkan peralatan khusus kepada SFC bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan di lapangan.

Kerjasama berkenaan menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam aspek kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan sains, inovasi teknologi dan penguatkuasaan berasaskan data bagi melindungi biodiversiti Sarawak.