Wacana sejarah saya hari ini berkenaan seorang individu yang tidak pernah orang kenali dalam sejarah Sarawak. Beliau yang saya maksudkan ialah Baroness Burdett-Coutts. Beliau dikenali sebagai “A Lady Unknown” oleh Steven Runciman, seorang penulis buku sejarah tentang Sarawak. Siapakah beliau? Kalau kita biasa membaca buku sejarah, jarang-jarang terlintas adanya nama ini dalam sejarah Sarawak. Hanya beberapa buku sejarah Sarawak sahaja menyebut nama beliau. Apakah pentingnya Baroness Burdett-Coutts ini pada Sarawak? Beliau sebenarnya tidak pernah pun datang ke Sarawak tetapi nama beliau penting membantu kewangan kerajaan Brooke, terutamanya semasa pemerintahan Raja James Brooke.
Nama sebenar beliau ialah Angela Burdett-Coutts. Beliau dilahirkan pada 21 April 1814, di London. Beliau merupakan anak kepada Sir Francis Burdett, dan cucu kepada Thomas Coutts, ahli perbankan peribadi yang kaya di England. Pada tahun 1837, beliau mewarisi harta yang banyak, peninggalan datuknya, Thomas Coutts. Harta yang beliau warisi ini dianggarkan berjumlah menghampiri dua juta wang tunai, dan separuh keuntungan dari salah sebuah bank terkenal di Strand, London. Beliau seorang yang pemurah dan banyak membantu dalam pembangunan pendidikan dan perumahan untuk golongan miskin di England.
Apa pula hubungan beliau dengan Sarawak? Sebelum menceritakan hal ini lebih lanjut, perlu dilihat dahulu bagaimana Raja James Brooke menghadapi kesukaran untuk mentadbir Sarawak, walaupun saiz wilayah Sarawak ketika itu bukan seperti hari ini. Namun, beban kewangan untuk mentadbir Sarawak itu adalah berat. Hasil Sarawak ketika itu datang dari hasil hutan dan galian antimoni dan emas di Bau. Namun demikian, Raja James Brooke tidak menguasai sepenuhnya Bau kerana kawasan tersebut dikawal oleh kongsi Cina, iaitu Twelve Company.
Oleh kerana masalah ini, beliau mempunyai rancangan untuk menyerahkan Sarawak kepada kuasa Barat yang lain, termasuk Britain. Namun demikian, rancangan beliau ini tidak berjaya kerana kerajaan British menjalankan dasar tidak campur tangan dan melihat juga kedudukan Sarawak yang tidak mempunyai potensi ekonomi besar. Kuasa-kuasa Barat yang lain juga tidak berminat untuk mentadbir Sarawak.
Atas sebab masalah ini, beliau mencari pihak boleh membantu beliau dalam penyelesaian isu kewangan Sarawak. Dalam hal ini, orang yang menjadi tempat beliau meminta bantuan ini ialah Burdett-Coutts. Hubungan beliau dengan Burdett-Coutts terjalin sejak tahun 1847. Hubungan kedua-dua mereka ini berkekalan sehingga Raja James Brooke meninggal dunia. Dalam hubungan ini juga, Raja James Brooke banyak meminta bantuan kewangan daripada Burdett-Courtts. Keadaan Sarawak ketika itu bukan sahaja dibebani dengan masalah kewangan untuk menampung kos pentadbiran, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan gerakan penentangan terhadap beliau yang memerlukan bantuan kewangan untuk menghapuskan penentangan itu, dan memulihkan keadaan selepas kekacuan tamat.
Pada masa itu, Raja James Brooke berhadapan dengan pemberontakan orang Cina (1857) dan memberi kesan besar terhadap kewangan Sarawak. Beliau terpaksa meminjam wang daripada Borneo Company berjumlah £5,000. Pada tahun 1859, Borneo Company telah mendesak Raja James Brooke untuk membayar hutang tersebut dengan segera. Oleh sebab masalah ini, Raja James Brooke bertemu dengan Burdett-Coutts di England untuk meminjam wang bagi melangsai hutang tersebut. Burdett-Courtts setuju memberikan pinjaman kepada Raja James Brooke tanpa bunga. Pinjaman itu dicagarkan pula kepada keuntungan daripada antimoni. Mulai hari itu Burdett-Coutts telah menyalurkan bantuan kewangan kepada James Brooke. Bantuan beliau ini membolehkan James Brooke menyelesaikan masalah kewangan untuk mentadbir Sarawak.
Raja James Brooke terus dihantui dengan masalah kewangan apabila berlakunya penutupan Mukah pada awal tahun 1860-an. Mukah ketika itu bukan di bawah pentadbiran Brooke, tetapi di bawah pentadbiran Pengiran Brunei. Mukah juga kaya dengan hasil sagu dengan perdagang-perdagang Sarawak akan datang untuk berdagang di Mukah. Hasil sagu ini memberi keuntungan kepada Sarawak kerana Kuching mula menjadi kawasan memproses sagu. Apabila Mukah ditutup, maka Sarawak terputus bekalan sagu yang menyebabkan kejatuhan hasil Sarawak. Atas sebab itu, beliau sekali lagi meminta bantuan kewangan daripada Burdett-Coutts dan kali ini pinjaman itu bertujuan untuk membeli Rainbow, iaitu sebuah kapal wap. Burdett-Coutts bersetuju memberi pinjaman wang untuk membeli kapal tersebut dengan syarat. Syarat beliau adalah, Raja James Brooke tidak boleh menyerahkan Sarawak kepada mana-mana kuasa Barat, kecuali Britain. Persetujuan untuk memberikan pinjaman itu juga merupakan sokongan moral kepada Raja James Brooke menghadapi masalah di Mukah. Ia merupakan simbol harapan oleh Burdett-Coutts kepada Raja James Brooke untuk meneruskan pentadbiran di Sarawak. Raja James Brooke kemudiannya menggunakan kapal berkenaan untuk mendesak Sultan Brunei menyerahkan Mukah kepada Sarawak.
Burdett-Coutts juga menjadi penasihat kepada Raja James Brooke menentukan masa depan Sarawak. Malahan, ada yang mengatakan bahawa beliau pernah mengesyorkan ditubuh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Sarawak Company bagi mentadbir Sarawak. Namun demikian, beliau tidak menyokong cadangan St. John untuk membentuk sebuah syarikat yang menguasai keseluruhan utara Borneo.
Hubungan Burdett-Coutts dengan Raja James Brooke membawa kepada pengaruh kuat Burdett-Coutts terhadap pentadbiran Sarawak. Beliau yang bertanggungjawab mengatur pewarisan takhta kerajaan Brooke. Waris yang sepatutnya mengantikan Raja James Brooke ialah Brooke Brooke, iaitu anak adik beliau Emma. Namun demikian, Burdett-Coutts tidak menyukai Brooke Brooke yang ketika itu ialah Tuan Muda. Beliau menyatakan bahawa Brooke Brooke tidak mampu mentadbir Sarawak. Brooke Brooke cuba berbaik-baik dengan Burdett-Coutts tetapi tidak dihiraukan oleh Burdett-Coutts. Akibatnya, Raja James Brooke melucutkan pewarisan ini daripada Brooke Brooke. Secara umumnya, Burdett-Coutts memang tidak suka kepada keluarga Brooke Brooke yang dirujuk sebagai keluarga Johnson. Sebab-musabab beliau tidak suka kepada keluarga ini tidak pula diketahui.
Raja James Brooke kemudiannya menyerahkan hak pewarisan ini kepada Burdett-Coutts. Burdett-Coutts menerima perubahan wasiat ini. Beliau menyatakan bahawa jikalau beliau meninggal dunia, maka hak ke atas Sarawak hendaklah diserahkan kepada kerajaan British. Jikalau kerajaan British menolak, maka Sarawak harus diserahkan kepada kerajaan Perancis. Namun demikian, minat beliau untuk menjadi pewaris Raja James Brooke ini juga tidak berpanjangan. Pada tahun 1865, Burdett-Coutts telah menyatakan hasratnya untuk memulangkan hak pewarisan semula kepada Raja James Brooke.
Apabila Raja James Brooke meninggal dunia, Burdett-Coutts masih lagi membantu dari segi kewangan untuk Sarawak sehingga tahun 1871. Selepas tahun itu, wanita di sebalik tabir ini tidak lagi terlibat dalam percaturan dasar dan kewangan Sarawak. Namun, namanya diabadikan pada salah satu kubu yang dibina di Sarawak.
Manakala kematian beliau pada tahun 1906 telah disiarkan dalam Sarawak Gazette sebagai seorang wanita yang banyak berjasa membantu Raja James Brooke mentadbir Sarawak.