KUALA LUMPUR: Indeks Kos Binaan (IKB) dengan bar keluli menurun antara 0.1 peratus dan 1.1 peratus mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia pada Ogos 2026 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan, DOSM berkata IKB dengan bar keluli di Sabah meningkat antara 0.1 peratus dan 3.4 peratus bagi semua kategori bangunan, manakala Sarawak mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus dan 0.4 peratus.
Indeks harga seunit pasir mencatatkan kenaikan iaitu antara 0.3 peratus sehingga 7.7 peratus berbanding bulan lepas dengan peningkatan tertinggi di Kota Kinabalu sebanyak 7.7 peratus, diikuti dengan Perak pada 2.4 peratus.
Sementara itu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Sibu (Sarawak) masing-masing naik 0.3 peratus.
“Indeks harga seunit bagi keluli pula menurun antara 0.3 peratus dan 2.4 peratus bulan ke bulan di kawasan terpilih.
“Penurunan terbesar dicatatkan di Selangor dan Kuala Lumpur, Melaka serta Negeri Sembilan sebanyak 2.4 peratus, diikuti Perak sebanyak 1.3 peratus dan Pahang sebanyak 0.7 peratus,” katanya.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, DOSM berkata indeks harga seunit bagi simen meningkat antara 0.6 peratus dan 6.7 peratus di seluruh Malaysia.
Kuching mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 6.7 peratus, diikuti Miri sebanyak 6.6 peratus serta Kelantan dan Terengganu masing-masing sebanyak 5.9 peratus, katanya.- Bernama




