SELEPAS setahun ditangguh akhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah disingkap pada Jumaat lalu meski terpaksa berhadapan dengan ‘arus deras’ penularan pandemik Covid-19 yang nampak belum lagi reda.
Dengan beberapa gelanggang mula dibuka, kini kontinjen Malaysia terarah untuk mencipta sejarah di Bumi Matahari dalam misi pemburuan kilauan pingat emas yang belum pernah diraih sejak menyertai temasya Olimpik 1956.
Namun, pada kali ini kontinjen negara telah ‘menanamkan’ tekad bagi melakarkan sejarah meraih pingat emas pertama bersandarkan pencapaian semasa atlet-atlet yang membawa cabaran nanti.
Dan yang pastinya, sandaran itu adalah dari anak kelahiran Kampung Jugan, Bau, Sarawak, Pandelela Rinong, 28 yang bakal turun dalam acara terjun.
Sebelum hadir ke Olimpik ini, sebenarnya Pandelela sudah pun berupaya ‘menggegar’ Tokyo apabila ‘Ratu Terjun Negara’ itu menjulang pingat emas pada Kejohanan Terjun Dunia Fina dua bulan lalu di Jepun.
Malah, jika dilihat kepada pencapaiannya pada Olimpik Rio Brazil 2012, Pandelela telah menyumbang pingat gangsa buat kontinjen negara manakala Olimpik London 2016, dia terus menampilkan aksi berrtenaga dengan mengapai pingat perak.
Justeru, dengan penampilan kali keempatnya bermula temasya Olimpik Beijing 2008, Pandelela kini sudah pastinya tidak mahu melepaskan peluang mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia yang naik ke podium meraih emas buat negara.
Di samping Pandelela, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang hanya memenangi pingat gangsa pada edisi Rio 2016 turut berpotensi meraih emas pada kali ini.
Mohd Azizulhasni yang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut, pernah mencipta sensasi muncul juara keirin pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong, selepas hanya memperoleh pingat perak pada 2010 dan gangsa pada 2015 dan 2016.
Turut tersenarai atlet yang berpotensi menyumbangkan kilauan emas ialah pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, itu pun sekiranya dia mampu mempamerkan prestasi terbaik berdasarkan pencapaian mengatasi pemain nombor satu dunia Kento Momota dan juara bertahan Viktor Axelsen, sebelum bergelar juara All England 2021.
Bagaimanapun, , ketika tumpuan lebih terarah kepada beberapa atlet dalam menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya Olimpik Tokyo, atlet lain juga mampu membuat kejutan meraih pingat andai mereka berada di prestasi terbaik pada temasya kali ini.
Pemenang pingat perak Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying yang beraksi dalam acara beregu campuran serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), berpeluang membawa pulang sebutir pingat jika berada pada prestasi terbaik, selain Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) mampu membuat kejutan dalam acara badminton.
Malah, Jun Hoong, yang sebelum ini bergelut akibat kecederaan, juga mampu melakar pencapaian membanggakan apabila bakal turun beraksi dalam acara 10 meter platform wanita individu di Tokyo, setelah menjadi satu-satunya penerjun Malaysia yang pernah memecahkan dominasi penerjun China di pentas dunia dalam acara terjun, apabila muncul juara Kejohanan Dunia 2017.
Pelumba muda Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut beraksi dalam acara keirin dan pecut, juga adalah antara atlet yang mampu melakukan kejutan pada kali ini.
.
Begitu juga dengan pemanah negara Khairul Anuar Mohamad yang dilihat memiliki ‘ramuan’ muncul sebagai pencabar berdasarkan statusnya selaku naib juara Kejohanan Dunia 2019, namun beliau harus kekal fokus dan konsisten mengharungi cabaran di Tokyo.
Sejak Sukan Olimpik mula diperkenalkan pada 1896 di Athens, Greece, dan Malaysia mula menyertai temasya berkenaan bermula 1956 di Melbourne (sebagai kontinjen Malaya), belum pernah ada atlet negara yang meraih pingat emas.
Seramai 30 atlet negara terdiri daripada 18 wanita dan 12 lelaki yang berjaya melepasi pusingan kelayakan sekali gus membawa cabaran di Tokyo ketika ini dengan sebanyak 10 acara yang bakal disertai.
Kontinjen Malaysia kali ini diwakili Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara pelayaran laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (kedua-duanya acara International 470 wanita); Nur Suryani Mohamed Taib (50m rifle tiga posisi wanita) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).
Leong Mun Yee pula akan bergandingan dengan Pandelela dalam acara 10 meter seirama wanita), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (terjun); Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik); Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga); Gavin Kyle Green, Kelly Tan (golf); serta Welson Sim dan Phee Jinq En dalam acara renang.
Dalam pada itu, dengan kehadiran lebih 10,000 atlet, pegawai dan media dari lebih 200 negara, penganjur telah menguatkuasakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan pandemik itu, antaranya mewajibkan ujian calitan Covid-19 kepada setiap peserta terlibat dalam temasya itu, tidak membenarkan kehadiran penonton di stadium, serta mengehadkan pergerakan mereka yang terlibat dalam temasya itu.
Walapun pelbagai cabaran dan normal baharu untuk bersaing, ternyata semangat atlet Malaysia tetap membara sekali gus merealisasikan impian meraih pingat emas pertama negara pada temasya sukan terkemuka dunia kali ini.
Apa pun, buat peminat dan penyokong dari Bumi Kenyalang, kita berharap agar muncul anak Sarawak yang bernama Pandelela Rinong berjaya muncul mencatat sejarah selaku atlet pertama Malaysia meraih emas di Tokyo nanti.