KUCHING: Dewan Ekonomi Melayu (DEKOMS) menyambut baik saranan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut fokus dalam memberikan bantuan kepada para peniaga dan penjaja kecil di negeri ini yang terus dalam keadaan dihimpit dan sukar yang diakibatkan oleh langkah-langkah sekatan oleh kerajaan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan.
Presiden DEKOMS, Bujang Boji Sitam (gambar) berkata, adalah menjadi harapan para penjaja dan peniaga kecil ini dapat diberikan perhatian sewajarnya oleh PBT ekoran pelbagai masalah yang dihadapi ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 ini.
Menurut Bujang masalah utama yang mereka hadapi ketika ini adalah untuk mendapat permit sementara kerana mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah birokrasi yang membantutkan usuaha mereka untuk mendapatkan permit.
Kaytanya, ketika ini untuk mendapatkan permit dari PBT, para penjaja dan peniaga kecil ini perlu mempunyai premis perniagaan bagi menjalankan perniagaan mereka, sedangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai premis perniagaan kerana menjalankan usaha mereka dari rumah dan dibahu-bahu jalan.
“Trend popular masa kini ialah menjual barangan melalui COD yang boleh dijalankan dari rumah sahaja. Jadi rasanya adalah tidak lojik sekiranya mereka tidak diberikan permit untuk menjalankan usaha mereka secara COD,” jelas beliau.
Demikian juga dengan mereka yang berusaha dibahu-bahu jalan, ternyata apa yang dilihat selama ini, tapak tempat mereka berniaga itu tidak pernah mengganggu lalu lintas kerana kebanyakan pelanggan hanya membeli seperti drive-thru.
DEKOMS merayu supaya pihak Majlis Kerajaan Tempatan dapat mempermudahkan permohonan permit sementara tanpa perlu menggunakan syarat-syarat yang begitu sukar untuk dipenuhi oleh para penjaja dan peniaga kecil ini.
“Tolong permudahkan lah permohonan permit para penjaja dan peniaga kecil ini, kerana kebanyakan mereka ini terdiri daripada golongan B40 yang begitu terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 ini,” rayu beliau.
Tahun lalu, ketika berdepan dengan keadaan lockdown 2.0, DEKOMS telah menghantar memorandum kepada Kerajaan Sarawak melalui Majlis Kerajaan Tempatan (MKT) supaya MKT dapat memberi permit sementara kepada para penjaja ini berikut syarat yang dikenakan oleh kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada para penjaja kecil ini mestilah mempunyai lessen atau permit daripada MKT.
“Permintaan kami waktu itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Negeri di mana selepas itu YAB KM telah mengumumkan supaya MKT memberi permit sementara kepada para penjaja kecil ini supaya mereka juga akan mendapat faedah dari bantuan yang disediakan oleh kerajaan di bawah Program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS),” katanya.