MIRI: Pasukan Bomba Pangkalan udara wilayah Utara akan dikerahkan ke Long Lellang pagi esok bagi membantu siasatan kemalangan helikopter perkhidmatan doktor udara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata peristiwa itu amat menyayat hati.
“Ini lebih-lebih lagi Long Lellang merupakan antara kawasan pedalaman yang sangat bergantung kepada perkhidmatan udara bagi mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan dan perkhidmatan asas.
“Saya ingin merakamkan rasa simpati dan dukacita yang sedalam-dalamnya kepada semua yang terlibat dalam tragedi ini, khususnya kepada ahli keluarga dan insan tersayang yang sedang melalui saat yang amat berat,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya malam ini.
“Kepada keluarga mangsa, saya ingin menyampaikan ucapan takziah yang setulus hati dan mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.
Menurutnya, Pasukan Bomba Pengkalan Udara Wilayah Utara akan dikerahkan ke Long Lellang pagi esok bagi membantu siasatan berkaitan kejadian berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan, pasukan penyelamat, petugas kesihatan serta masyarakat Long Lellang yang tampil membantu di lokasi kejadian.
“Dalam saat yang penuh kesedihan ini, marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua urusan berkaitan tragedi ini dipermudahkan dan keluarga yang terkesan diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.
Gerawat turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas tragedi berkenaan.



