Kerjasama ADB perkukuh projek tenaga, teknologi Sarawak

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak ketika menyertai sesi perbincangan bertemakan ‘Memacu Masa Depan Mampan ASEAN: Peranan Sarawak dalam Tenaga, Kesalinghubungan dan Pertumbuhan Hijau’ bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) di Manila, hari ini. Foto UKAS.

MANILA: Kerjasama strategik dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) penting bagi Sarawak merealisasikan projek berskala besar, khususnya dalam sektor tenaga, teknologi dan pembangunan rendah karbon.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu membolehkan idea serta teknologi baharu diterjemahkan kepada projek yang berdaya maju menerusi kepakaran, teknologi dan pembiayaan yang kompetitif.

Beliau berkata pelaksanaan projek berskala besar memerlukan perancangan teliti, keyakinan pihak berkepentingan serta penyelesaian terhadap aspek kos dan pembiayaan.

“Apabila kita melaksanakan idea baharu, ia tidak mudah. Kita perlu meyakinkan pihak berkepentingan dan persoalan seterusnya ialah kos,” katanya dalam sesi perbincangan bersama ADB di Ibu Pejabat ADB, di Manila, hari ini.

Abang Johari berkata kerjasama berterusan dengan ADB penting bagi memastikan projek yang dilaksanakan mempunyai asas ekonomi dan teknologi yang kukuh, selain berdaya maju dari segi pembiayaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak kini lebih selektif dalam memilih industri yang mahu dibawa masuk dengan mengambil kira nilai tambah kepada ekonomi negeri.

Katanya, sesuatu pelaburan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira peluang pekerjaan, penggunaan tenaga dan keupayaan teknologi untuk bertahan dalam jangka panjang.

Beliau memberi contoh industri pusat data yang perlu dinilai dari sudut peluang pekerjaan yang diwujudkan selain penggunaan tenaga.

“Pusat data hanya seperti gudang yang menyimpan data. Dari segi penciptaan pekerjaan, saya rasa ia tidak begitu banyak,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak perlu memberi tumpuan kepada industri masa depan yang mempunyai potensi perkembangan teknologi dan tidak hanya berdasarkan keperluan semasa.

Sesi perbincangan berkenaan bertemakan ‘Memacu Masa Depan Mampan ASEAN: Peranan Sarawak dalam Tenaga, Kesalinghubungan dan Pertumbuhan Hijau’ dan merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Premier Sarawak ke Ibu Pejabat ADB.

Lawatan berkenaan turut merangkumi pertemuan dengan Presiden ADB, Masato Kanda serta Lembaga ADB.