MBKS bakal heret pembuang sampah haram ke mahkamah

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng bercakap pada sidang media MBKS di Bangunan MBKS, Jalan Padungan, Kuching, hari ini. Foto Nadya Victoria

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bakal mengambil tindakan mahkamah terhadap individu yang dikenal pasti membuang sampah secara haram selepas menerima bukti bergambar dan rakaman video daripada orang awam.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata tindakan tegas itu perlu diambil selepas pihaknya mendapati terdapat individu yang kembali membuang sampah di lokasi yang baru sahaja dibersihkan MBKS.

Menurutnya, pihak MBKS turut menerima gambar yang menunjukkan nombor flat yang didiami individu terbabit, sekali gus membantu proses mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Kita baru sahaja membersihkan kawasan itu sehari sebelumnya, tetapi keesokan harinya mereka datang semula dan mula membuang sampah.

“Kita sudah mempunyai gambar dan segala bukti. Kita akan membawa mereka ke mahkamah kerana perkara seperti ini tidak boleh lagi ditoleransi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media pengumuman tayangan percuma filem animasi pendek Michiru di MBKS, hari ini.

Beliau berkata, orang awam memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa tempatan memandangkan MBKS tidak mampu memantau semua kawasan sepanjang masa.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan aktiviti pembuangan sampah secara haram digalakkan merakam gambar atau video dan menyalurkannya kepada MBKS untuk tindakan lanjut.

“Bandar ini bukan milik MBKS sahaja, tetapi milik semua. Jadi, apabila nampak seseorang membuang sampah sesuka hati, laporkan kepada kami.

“Kita tidak boleh berada di setiap tempat 24 jam sehari, jadi kerjasama orang awam amat penting,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wee berkata MBKS turut memberi perhatian terhadap pembuangan sisa kebun, terutama ketika keadaan cuaca kering yang boleh meningkatkan risiko kebakaran.

Katanya, penduduk yang menjalankan kerja pemotongan rumput, pokok atau tanaman perlu menguruskan sisa tersebut dengan betul dan tidak membuangnya di kawasan awam.

“Kita sudah banyak kali memberi amaran mengenai perkara ini. Jika mahu menjaga kawasan rumah supaya bersih dan hijau, sisa daripada kerja-kerja itu juga perlu diuruskan dengan baik.

“Jangan hanya membuangnya di luar kawasan dan mengharapkan pihak majlis datang mengambilnya,” tegasnya.

Beliau berkata, MBKS turut merancang memperluaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), khususnya di kawasan perumahan dan lokasi yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pembuangan sampah.

Bagaimanapun, katanya, usaha membendung masalah itu perlu disokong dengan pendidikan sivik sejak di bangku sekolah bagi mengubah sikap masyarakat terhadap pengurusan sampah.

MBKS sebelum ini mengingatkan individu yang melakukan pembuangan sampah secara haram bahawa mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.

Pihak berkuasa tempatan turut menyediakan perkhidmatan kutipan sisa perdagangan dan sisa kebun dengan bayaran, manakala orang awam boleh membuat laporan berkaitan aktiviti pembuangan sampah kepada Bahagian Penguatkuasaan MBKS.

Oleh Adele Rissa

Rumah usang runtuh di Kampung Muhibbah

MIRI: Bahagian hadapan sebuah rumah di Kampung Muhibbah, di sini, runtuh pagi tadi dipercayai akibat keadaan struktur rumah yang sudah