SIMANGGANG: Kebakaran belukar seluas kira-kira 2.8 hektar di Jalan Taman Harmoni, di sini, belum dipadam sepenuhnya selepas operasi pemadaman ditangguhkan petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.37 petang sebelum jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan kawasan belukar seluas kira-kira 2.8 hektar.
“Pasukan operasi dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjalankan kerja pemadaman dan membuat fire break bagi menghalang api daripada merebak.
“Team 1 membentangkan aliran hos sepanjang 400 kaki dengan cabang pembahagi serta 300 kaki hos serangan menggunakan dua nozel dari sumber air terbuka, iaitu parit, dengan bantuan pam angkut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan berkenaan menjalankan pemadaman menggunakan kaedah total flooding dan fire break di sektor pertama.
Sementara itu, Team 2 menggunakan hos bantu mula dari jentera untuk memadam kebakaran selain membuat fire break di sektor kedua.
Bagaimanapun, operasi berdepan kekangan apabila sektor kedua tidak mempunyai sumber air, menyebabkan jentera terpaksa berulang-alik untuk mengisi bekalan air.
“Setakat operasi hari pertama, keluasan yang berjaya dipadam adalah kira-kira 1.2 hektar, manakala kerja pemadaman akan disambung semula esok.
“Operasi ditangguhkan pada 6.20 petang dan pasukan kembali ke balai,” katanya.
Seramai tujuh anggota BBP Sri Aman terbabit dalam operasi itu dengan kekuatan sebuah jentera Bomba (FRT) dan sebuah jentera Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Antara cabaran utama di lokasi ialah kekurangan sumber air terbuka berikutan keadaan parit yang cetek, selain kedudukan pili bomba yang jauh dari kawasan kebakaran.
Jabatan Alam Sekitar turut berada di lokasi bagi membantu pemantauan kejadian.
Oleh Adi Safarman





