Bacaan IPU menurun, kualiti udara Sarawak beransur pulih

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU Sarawak setakat 8.00 pagi, hari ini. Sumber NREB.

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak menunjukkan penurunan setakat 8.00 pagi hari ini, memberi petunjuk kualiti udara di negeri ini beransur pulih.

Berdasarkan data setakat 8.00 pagi, sebanyak 18 daripada 21 stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU dalam kategori Tidak Sihat atau Sangat Tidak Sihat.

Serian yang diisytiharkan darurat sebelum ini menunjukkan bacaan IPU menurun kepada 184 hari ini berbanding lebih 500 ketika kemuncak jerebu sebelum ini.

Lima stesen merekodkan bacaan dalam kategori Sangat Tidak Sihat iaitu Kuching dengan 235, Lubok Antu (237), Sri Aman (216), Lundu (215) dan Kanowit (215).

Sebanyak 14 stesen lagi merekodkan bacaan dalam kategori Tidak Sihat dengan indeks antara 134 hingga 200.

Bacaan tertinggi direkodkan di Lubok Antu dengan IPU 237, diikuti Kuching (235), Sri Aman (216), Lundu (215) dan Kanowit (215).

Sementara itu, Samalaju mencatat bacaan IPU 200, manakala Samarahan dan Mukah masing-masing merekodkan 195.

IPD Serian (MCAQM) pula mencatat bacaan 184, Sarikei (189), Sibu (181), Bintulu (199), Miri (176), ILMiri (182), Limbang (163), Tebedu (163), Lawas (134) dan Betong (MCAQM) (194).

Hanya dua stesen berada dalam kategori Sederhana iaitu Kapit dengan bacaan IPU 100 dan Bario (74).

Walaupun beberapa kawasan masih mencatat bacaan tinggi, trend penurunan berbanding bacaan terdahulu menunjukkan keadaan kualiti udara di Sarawak mula mengalami pemulihan secara beransur-ansur.

Oleh Masrin Affirah