JPNS nafi sekolah di beberapa bahagian Sarawak ditutup

Facebook
WhatsApp
KENYATAAN mengenai penutupan beberapa buah sekolah di Sarawak yang sedang tular dinafikan sebagai kenyataan rasmi JPNS.

KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan bertajuk “Penutupan Sekolah Akibat Jerebu” yang sedang tular.

Selain itu, JPNS turut menegaskan bahawa tiada penutupan sekolah lain diumumkan selain sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang telah dimaklumkan secara rasmi.

JPNS dalam satu pemakluman berkata, penyebaran kenyataan palsu yang menggunakan nama pihaknya itu merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Mohon jangan percaya atau sebarkan. Rujuk hanya saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk maklumat yang sahih,” menurut pemakluman itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat berkaitan penutupan sekolah akibat jerebu yang tidak disahkan melalui saluran rasmi KPM, JPNS atau PPD.