Jerebu: 710 sekolah ditutup sementara akibat jerebu, 238,303 murid terjejas

Facebook
WhatsApp
PINTU sekolah ditutup seketika akibat jerebu, namun sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan untuk memastikan pembelajaran tidak terhenti. Foto janaan AI

KUCHING: Sebanyak 710 sekolah di Sarawak akan ditutup sementara dari 7 hingga 11 September ini susulan keadaan jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri ini, melibatkan 238,303 murid.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kenyataan rasmi hari ini memaklumkan jumlah berkenaan membabitkan 617 sekolah rendah dengan 130,953 murid dan 93 sekolah menengah melibatkan 107,350 murid di bawah seliaan 14 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang terjejas akibat fenomena jerebu.

Dalam perkembangan terkini, sebanyak 63 sekolah di bawah seliaan PPD Bintulu dan PPD Tatau/Sebauh turut diputuskan untuk ditutup sementara bagi tempoh berkenaan.

Daripada jumlah itu, 54 merupakan sekolah rendah yang melibatkan 22,476 murid, manakala sembilan lagi sekolah menengah membabitkan 17,268 murid.

JPN berkata, keputusan penutupan sementara dibuat berdasarkan pemantauan berterusan serta bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan sehingga 8.00 malam hari ini.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid terus diberi keutamaan ketika berdepan keadaan cuaca panas dan jerebu.

Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016 berkaitan Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.

Pihak sekolah juga diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan langkah menjaga kesihatan dan keselamatan murid di kawasan yang mengalami jerebu kritikal.

JPN turut menasihatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya supaya sentiasa memantau tahap IPU melalui Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar, Air Pollutant Index Management System (APIMS), selain mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

Sebarang perubahan atau maklumat terkini mengenai penutupan sekolah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

JPN menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan negeri itu terus menjadi keutamaan.

Oleh Afiq Sallehi