Kemaskini: Kebakaran tapak pelupusan Selalang masuk hari ketiga, 0.1 hektar berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
USAHA memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Selalang, Sarikei menggunakan kaedah pam geganti (relay pumping) dengan satu aliran hos sepanjang kira-kira 1,000 kaki dan satu nozel air dari pili bomba yang terletak kira-kira 800 kaki dari lokasi kebakaran. Foto JBPM

SARIKEI: Sebanyak 0.1 hektar daripada keseluruhan 0.41 hektar kawasan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Selalang berjaya dipadamkan dalam operasi hari ketiga, hari ini.

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak PBT II, Kho Boo Jang, operasi pemadaman yang melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei itu dibahagikan kepada empat sektor, iaitu A, B, C dan D, berdasarkan jalur pemisah kebakaran yang disediakan menggunakan jengkaut.

Pemadaman dilaksanakan menggunakan kaedah pengepaman secara geganti dengan satu aliran hos sepanjang kira-kira 1,000 kaki serta satu muncung pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba yang terletak kira-kira 800 kaki dari lokasi kebakaran.

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei bertungkus-lumus memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Selalang. Foto JBPM

Operasi yang bermula selepas jentera tiba di lokasi pada jam 9.22 pagi itu bagaimanapun ditangguhkan pada jam 5 petang atas faktor keselamatan.

JBPM memaklumkan baki keluasan kawasan kebakaran yang masih belum dipadamkan adalah kira-kira 0.31 hektar.

Seramai tujuh anggota BBP Sarikei terlibat dalam operasi berkenaan yang disokong sebuah jentera Pemadam Kebakaran dan Penyelamat Ringan (LFRT), sebuah Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamat (EMRS) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max.

KEADAAN longgokan sampah yang terbakar di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Selalang, Sarikei, ketika kerja-kerja pemadaman dijalankan oleh anggota bomba. Foto JBPM

Operasi turut dibantu dua anggota Majlis Daerah Sarikei, tujuh anggota kontraktor, dua unit jengkaut dan sebuah lori tangki.

Usaha pemadaman akan diteruskan bagi memastikan kebakaran di tapak pelupusan berkenaan dapat dikawal sepenuhnya.

Oleh Afiq Sallehi