SERIAN: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian menurun kepada 268 setakat 4.00 petang tadi, selepas kawasan berkenaan dilanda hujan sebelum ini.
Bagaimanapun, keadaan jerebu masih dapat dilihat di sekitar bandar Serian, dengan jarak penglihatan terutama di kawasan jauh masih terjejas.
Tinjauan di sekitar bandar mendapati aktiviti harian penduduk masih berjalan seperti biasa, dengan kenderaan dan orang ramai masih kelihatan bergerak di beberapa lokasi.
Namun, peniaga di sekitar Serian sedikit terjejas sejak kawasan itu diisytiharkan darurat semalam susulan situasi jerebu yang melanda kawasan berkenaan, dengan bacaan IPU mencecah lebih 500.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU Serian pada 4.00 petang tadi adalah 268, diikuti Kuching (263), Samarahan (228), Sri Aman (244), Bintulu (209) dan Samalaju (206).
Penurunan bacaan di Serian berbanding paras sebelumnya bagaimanapun belum menunjukkan keadaan jerebu pulih sepenuhnya, memandangkan kualiti udara masih berada pada tahap tidak sihat.
Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum ini memaklumkan pemantauan terhadap bacaan IPU di Serian akan diteruskan dalam tempoh tiga hari bagi melihat trend turun naik bacaan, termasuk kemungkinan ia kembali meningkat.
Orang ramai khususnya di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga selagi keadaan jerebu masih berlaku.
Oleh Afiq Sallehi




