Serian catat bacaan IPU tertinggi 268 setakat 4.00 petang

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 4.00 petang ini.

KUCHING: IPD Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak, iaitu 268 dalam kategori sangat tidak sihat setakat 4.00 petang ini.

Berdasarkan status IPU Sarawak, Lubok Antu merekodkan bacaan kedua tertinggi, iaitu 267, diikuti Kuching (263), Sri Aman (244) dan Samarahan (228), yang kesemuanya berada dalam kategori sangat tidak sihat.

Beberapa kawasan lain turut berada pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Lundu dengan bacaan 227, Tebedu dan Kanowit masing-masing mencatatkan bacaan 212, Bintulu (209) serta Samalaju (206).

Sementara itu, ILP Miri mencatatkan IPU 190, Mukah (187), Betong (186), Miri (183), Sarikei (179), Sibu (174), Limbang (161), Kapit (152) dan Lawas (150), yang kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.

Bario pula menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan tahap sederhana dengan bacaan IPU 94.

Secara keseluruhan, tiada stesen pemantauan di Sarawak mencatatkan bacaan pada tahap berbahaya atau sangat berbahaya setakat 4 petang.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat dan 201 hingga 300 sangat tidak sihat.

Bacaan antara 301 hingga 400 pula dikategorikan sebagai berbahaya, manakala 401 hingga 500 dan melebihi 500 berada pada tahap sangat berbahaya.

IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko, dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini kualiti udara dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat atau lebih tinggi.