SUBANG: Sebanyak 11 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal pagi ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas susulan banjir dan tanah runtuh di negara itu.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata pasukan itu diketuai Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Abdul Manaf Che Isa dan misi dijangka berlangsung selama 10 hari.
“Pasukan ini dibentuk secara khusus dengan pelbagai kepakaran merangkumi kepakaran mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi, serta sokongan teknikal,” katanya dalam sidang media pada majlis pelepasan pasukan SMART di sini, hari ini.
Beliau berkata pasukan itu dijangka tiba di Nepal kira-kira 11.00 pagi waktu Nepal sebelum diberikan taklimat operasi dan diatur gerak ke lokasi yang dikenal pasti, termasuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu.
“Setakat ini kita diberi gambaran akan ke kawasan terowong namun itu bergantung kepada taklimat di sana…dalam operasi ini tidak kira siapa sahaja mangsa kita akan selamatkan tetapi tumpuan kita adalah kawasan terakhir rakyat kita (terjejas),” katanya.
Pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan 31 anak kapal membawa pasukan SMART di bawah NADMA serta peralatan SAR seberat 12.4 tan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di sini pada 9.00 pagi.
Peralatan itu antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, peranti teknologi seperti dron berkapasiti tinggi serta peralatan khas termasuk untuk peralatan penyelamatan terowong, di samping sebuah kenderaan pacuan empat roda dan satu trak muatan 10 tan.
Abdul Manaf berkata pasukannya akan tiba di Kathmandu sebelum diberikan taklimat oleh agensi pengurusan kecemasan tempatan dan seterusnya diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan.
“Misi kita sangat jelas iaitu misi kemanusiaan yang turut membawa beberapa peralatan khusus bagi tujuan persediaan penyelamatan terowong serta peralatan komunikasi, perubatan dan kesihatan,” katanya.
Pada 30 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI memutuskan untuk menghantar SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR.
Beliau berkata Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak USD1 juta kepada Nepal, bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.
Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.
Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,220 orang manakala 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang.- Bernama




