SARIKEI: Operasi memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei memasuki hari kedua hari ini, dengan satu daripada empat sektor berjaya dipadamkan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak PBT II Khoo Boo Jang, dalam catatan operasi berkata, kebakaran melibatkan kawasan tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 4,150 meter persegi.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran sampah di tapak pelupusan berkenaan.
“Operasi dibahagikan kepada empat sektor iaitu A, B, C dan D, dengan kerja pemadaman menggunakan kaedah pam geganti (relay pumping) melalui satu aliran sepanjang kira-kira 1,000 kaki,” katanya.
Menurutnya, satu nozel air digunakan dengan sumber air daripada pili bomba yang terletak kira-kira 800 kaki dari lokasi kebakaran.
Bagaimanapun, operasi berdepan kekangan tekanan air pili bomba yang rendah selain liputan girn yang kurang memuaskan.
Sehingga operasi ditangguhkan pada 5.00 petang, sektor A seluas kira-kira 1,000 meter persegi berjaya dipadamkan.
Usaha pemadaman akan diteruskan apabila keadaan di lokasi mengizinkan bagi memastikan kebakaran di tapak pelupusan berkenaan dapat dikawal sepenuhnya.
Operasi hari kedua itu membabitkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan sebuah jentera Bomba (FRT).
Turut membantu operasi ialah dua anggota Majlis Daerah Sarikei, tujuh pekerja kontraktor, dua unit jengkaut serta sebuah lori tangki.
Oleh Afiq Sallehi



