Terpedaya iklan susu tepung murah, warga emas rugi RM40,000

Facebook
WhatsApp
CEGAH PENIPUAN... Milton Foo menggesa orang ramai supaya tidak menekan pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat perbankan dengan pihak tidak dikenali.

KUCHING: Seorang warga emas berusia 71 tahun di sini kerugian RM40,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan di Facebook yang menawarkan susu tepung berjenama pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran.

Ketua Biro Aduan Awam SUPP, Milton Foo, berkata mangsa tertarik dengan iklan di Facebook yang menawarkan 10 tin susu tepung jenama terkenal pada harga RM440 sebelum menghubungi penjual menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mangsa kemudian diarahkan menekan satu pautan yang diberikan penjual terbabit, menyebabkan skrin telefon mangsa tiba-tiba menjadi gelap sepenuhnya dan dipercayai telah digodam.

“Dua akaun bank mangsa kemudiannya telah diakses dan transaksi dalam talian tanpa kebenaran berjumlah RM40,000 dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian itu berlaku di kediaman mangsa di Kuching pada 25 Ogos lalu, manakala laporan polis dibuat pada 26 Ogos.

Milton menggesa orang ramai, khususnya warga emas, supaya lebih berhati-hati terhadap iklan di media sosial yang menawarkan barangan pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Beliau turut menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) memperkukuh sistem keselamatan perbankan dalam talian, selain meminta penjelasan mengenai bagaimana satu pautan pancingan data didakwa boleh menyebabkan dua akaun bank mangsa terjejas.

Milton juga menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera untuk menyekat serta menurunkan halaman Facebook palsu dan pautan pancingan data yang digunakan dalam kegiatan penipuan.

Selain itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat siasatan terhadap kegiatan penipuan rentas platform dan perbankan, selain mencadangkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 beroperasi 24 jam bagi membantu mangsa mengambil tindakan segera, termasuk membekukan akaun yang terjejas.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menekan pautan mencurigakan atau memberikan nombor TAC, OTP dan maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali.

“BNM mesti mengawal selia, MCMC mesti menyekat dan bank mesti memastikan keselamatan transaksi dalam talian. Wang hasil titik peluh rakyat tidak seharusnya dicuri dengan cara seperti ini,” katanya.

Mangsa atau orang awam yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Biro Aduan Awam SUPP.

Oleh Connie Chieng