Pusat penghasilan produk kraf tangan dan produk kampung perlu diwujudkan di Lawas

Facebook
WhatsApp
MAJUKAN WANITA... Dato Henry Sum Agong hadir pada Program Perantisan Kepimpinan Wanita di Lawas.

LAWAS: Pengusaha produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri kraf tangan dan penghasilan produk kampung di Lawas memerlukan sebuah pusat untuk menjual dan mempamerkan produk mereka.

Hal ini kerana ramai pengusaha berkenaan datang dari kawasan perkampungan di pedalaman dan pesisir sungai yang jauh serta tidak mempunyai tempat tetap untuk memasarkan produk mereka.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong mahu agensi dan jabatan kerajaan berkaitan menyediakan sebuah pusat jualan kraf tangan di bandar Lawas.

“Saya melihat ada produk yang hari ini dipamerkan, tetapi esok lusa sudah tiada. Oleh itu, dalam jangka masa singkat ini, perlu diwujudkan sebuah pusat produk di Lawas.

“Dengan adanya pusat ini, pengunjung dari Indonesia, Brunei, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan datang ke Lawas untuk mendapatkan serta melihat pelbagai produk yang dipamerkan dan dijual,” katanya.

“Melalui cara baharu ini, pendapatan dan barangan dapat diperoleh secara berterusan sepanjang masa,” katanya ketika merasmikan Program Perantisan Kepimpinan Wanita anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita dan Majlis Kraf Sarawak di Hotel Seri Malaysia Lawas hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pusat berkenaan kelak perlu mempunyai bekalan produk yang konsisten.

“Maka, di sinilah peranan pengusaha di kampung untuk mewujudkan pusat pemprosesan sendiri mengikut kekuatan produk yang terdapat di kampung masing-masing.

“Usaha ini boleh dilaksanakan menerusi program yang dikelolakan di bawah Pusat Wanita di kampung masing-masing,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Majlis Kraf Sarawak Charles Suriya Buas, Pengerusi Pengelola yang juga tokoh Perantis Angeline Patsy Perry dan kenamaan tempatan lainnya.

Oleh Adeng Edrus