BETONG: Pemilik kediaman di kuarters Pejabat Kesihatan Bahagian Betong dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 2.4 meter yang ditemui dalam sangkar kucing, semalam.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.14 malam berhubung penemuan reptilia berkenaan.
Susulan laporan itu, seramai empat anggota APM Betong digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
Pasukan tiba di lokasi pada 9.24 malam dan mendapati laporan berkenaan tepat apabila seekor ular sawa batik berada di dalam sangkar kucing.
Anggota APM kemudian menjalankan operasi secara berhati-hati menggunakan peralatan khas serta teknik penjerutan sebelum berjaya menangkap ular berkenaan.

Ular tersebut dianggarkan berukuran 2.4 meter panjang dan berjaya dikawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Operasi berakhir pada 9.36 malam dalam keadaan selamat dan terkawal.
Operasi diketuai Sarjan Michael Awan Aing bersama tiga anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), iaitu Prebet Muhd Mizan Abd Malik, Prebet Anddy Harrison Wahid dan Prebet Fellixson Emmenual Izri Kasim.
Sehubungan itu, APM Daerah Betong menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko dengan cuba menangkap atau menghampiri ular, terutama jika spesies berkenaan tidak dikenal pasti.
Orang ramai yang menemui haiwan berbahaya juga diminta supaya segera menghubungi pihak berkuasa atau agensi penyelamat bagi membolehkan tindakan selamat diambil.
Oleh Adi Safarman




