Lebih 12 ribu penduduk yang layak untuk menerima suntikan vaksin di Daerah Dalat telah mendaftar setakat hari Ahad.
Setakat 4 Julai, ujar Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, seramai 12,802 telah mendaftar.
“Saya difahamkan setakat hari Ahad (4 Julai) seramai 12,802 penduduk daerah sudah mendaftar. Dan angka ini menunjukkan pertambahan seramai 1,334 jika dibanding sebelum ini,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa jumlah yang telah divaksinasi dengan dos pertama adalah seramai 9477 orang (74.1 peratus), dan dos kedua adalah seramai 1828 orang (14.3%).
Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat ( ADUN N.56 Dalat) itu berkata demikian ketika mengikuti Program Vaksinasi Outreach Daerah Dalat ke Kampung Klid dan Kpg Narub pada hari Ahad.
“Untuk Kampung Klid pada hari ini atau 4 Julai, terdapat seramai 122 orang divaksinasi, termasuk dua orang kurang upaya(OKU) dan Kampung Narub 90 orang termasuk seorang OKU,” tambah beliau lagi.
Fatimah juga mendedahkan bahawa program Outreach itu akan ke Nanga Baoh pada 8 Julai dan dijadual melibatkan seramai 225 penduduk di 10 buah rumah panjang di sana akan menerima suntikan vaksin.
Pada 25 dan 26 Jun lalu, program Outreach telah ke Ulu Baoh yang menyaksikan seramai 503 orang dari 15 Rumah Panjang telah divaksinasi.
“Program Outreach adalah untuk memastikan rakyat di kawasan yang sukar diakses tidak tercicir daripada divaksinasi. Contohnya, di Kpg Klid dan Kpg Narub yang hanya dapat diakses menggunakan jalan sungai. Jarak Kpg Klid dari pekan Dalat adalah 11.5 kilometer dan mengambil masa 45 minit mengguna bot enjin sangkut 250 kuasa kudanya (horsepower). Melalui Outreach ini, seramai 212 orang atau 100% penduduk dua buah kampung ini telah divaksinasikan,” tambah Fatimah.
Beliau menambah Outreach Program telah memberi keselesaan kerana menjimatkan kos pengangkutan yang perlu ditanggtung jika mereka pergi terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV Daerah Dalat) yang berlokasi di Stadium Perpaduan di Dalat.
“Dengan mengadakan Program Vaksinasi Outreach, mobile team (pasukan bergerak) peratusan tidak hadir untuk divaksinasi dapat kita atasi. Lebih-lebih lagi di kawasan yang agak jauh, seperti di Kampung Narub dan Klid yang terpaksa menggunakan jalan sungai dan melibatkan kos tinggi bagi penduduk untuk divaksinasi. Lagipun, di kawasan yang sukar capaian internetnya, penduduk tidak dapat mendaftar dalam MySejahtera. Mereka ini didaftarkan secara manual, iaitu JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses bekalan Vaksin Covid-19), melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK),” kata beliau lagi.
Difahamkan bagi yang OKU (mental) dan OKU (fizikal), pasukan Outreach ini juga akan pergi terus ke rumah masing-masing untuk menjalankan pemvaksinasian ini
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pasukan Mobile ini yang diketuai oleh Pegawai Daerah Dalat, Kueh Lei Poh, selaku Pengerusi Bencana Peringkat Daerah Dalat, Dr. Nor Shahida Abu Hanifah dari Klinik Kesihatan Dalat, dan juga kepada KMKK yang bekerjasama mengumpul penduduk sehingga prosesnya berjalan dengan lancar,” kata Fatimah, dengan harapan semua yang layak di kawasan akan menerima suntikan vaksin seperti dijangkakan.
Oleh Henry B Siyu