MINGGU lepas saya telah menceritakan bagaimana Sarawak bertukar status menjadi tanah jajahan British pada 1 Julai 1946. Peristiwa penyerahan Sarawak ini menimbulkan rasa kurang senang penduduk Sarawak yang mengakibatkan peristiwa berdarah pada tahun 1949.
Kali ini wacana saya ini akan membawa pembaca ke belakang daripada tahun 1946 yang berkait dengan timbulnya minat dan usaha berterusan British untuk mendapatkan Sarawak.
Sarawak pada awal abad ke-19 merupakan sebuah wilayah kecil meliputi Sungai Sarawak sahaja. Kepentingan Sarawak kepada dunia terserlah dengan hasil hutannya yang terdiri daripada kapur barus, getah perca, rotan dan pelbagai lagi hasil hutan. Manakala di Mukah pula, berkembang industri sagu yang menjadi salah satu bahan eksport terpenting ketika itu. Jumpaan antimoni dan emas pula memetakan Sarawak sebagai sebuah kawasan perlombongan penting di rantau Alam Melayu.
Walaupun adanya kepentingan ini, Sarawak masih bebas daripada penjajahan kuasa asing. British pula sibuk dengan urusan perdagangan dan menguatkan penguasaannya di Tanah Melayu. Belanda pula sibuk dengan menjajah Kesultanan Melayu di Kalimantan.
Namun demikian, kekacauan di Sarawak pada sekitar abad ke-19 mengundang campur tangan luar, tetapi bukannya British atau Belanda, tetapi orang perseorangan bernama James Brooke.
British dan Belanda menampakkan mereka tidak berminat dalam usaha campur tangan dalam pemberontakan di Sarawak. Oleh hal yang sedemikian itu, peranan James Brooke penting mewujudkan geopolitik baharu di Pulau Borneo, iaitu kerajaan Sarawak.
Kehadiran pemerintahan keluarga Brooke mula mendapat perhatian Belanda, dan mereka membuat bantahan terhadap campur tangan ini kepada pihak British. Pihak British tidak pula mempunyai dasar yang jelas tentang Sarawak dan membiarkan pentadbiran Brooke di Sarawak berjalan seperti kerajaan-kerajaan lain di Alam Melayu.
Malahan, British juga menolak tawaran Raja James Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada British. Penolakan ini dilihat dalam pelbagai faktor. Pertama, ketika itu British mengamalkan dasar tidak campur tangan di negeri-negeri di Alam Melayu. Walaupun dasar ini menampakkan British berkecuali seperti menegah Gabenor Labuan campur tangan dalam krisis di Mukah pada awal tahun 1860-an, tetapi keadaan berbeza apabila British membantu Brooke membenteras “lanun” yang dikatakan aktif di Batang Lupar, Skrang dan Saribas pada tahun 1850-an. Kedua pula, British berpendapat bahawa untuk mentadbir dan menjaga keamanan Sarawak, ia memerlukan perbelanjaan besar.
Sebaliknya British mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat pada tahun 1863, dan telah melantik konsul mereka di Sarawak. Walau bagaimanapun, tindak tanduk Brooke di Sarawak diawasi oleh London. Sebagai contohnya, tindakan Raja Charles Brooke untuk mendapatkan wilayah Baram daripada Brunei pada tahun 1868 tidak diperkenankan oleh British. Menurut Perdana Menteri Great Britain ketika itu, Benjamin Disraeli, bahawa British menghalang perluasan wilayah Sarawak selama sepuluh tahun. Sekali lagi pemintaan Sarawak untuk mendapat Baram pada tahun 1876 telah ditolak. Hanya pada tahun 1883 Sarawak berjaya meluaskan wilayahnya ke Baram apabila kerajaan baharu di London bertukar, dan tempoh sepuluh tahun ditarik balik.
Sehubungan dengan perkembangan itu juga, British mula menunjukkan minat terhadap utara Borneo apabila pemerintahan Raja Brooke dan Syarikat Borneo Utara British (SBUB) mengancam kedudukan Brunei. Usaha awal dilakukan adalah dengan memberi taraf naungan kepada Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei pada tahun 1888.
Tindakan ini memberi kuasa hubungan antarabangsa dan pertahanan kepada British ke atas wilayah-wilayah ini. Langkah ini diambil kerana Kerajaan Brooke dan SBUB bersaing untuk mengambil wilayah Brunei hingga mengancam survival Brunei. Hal ini memulakan minat British ke atas wilayah-wilayah ini. Terdapat cadangan pada awal tahun 1890-an untuk melantik Residen British di Sarawak dan Borneo Utara, seterusnya menyatukan dengan Brunei sebagai sebuah tanah jajahan British. Namun demikian, British berasa selesa dengan status Sarawak (termasuk Borbeo Utara) yang pemerintahannya masih mampu mengelak campur tangan kuasa Barat yang lain.
Walaupun terdapat tanggapan meragukan tentang kualiti pentadbiran keluarga Brooke di Sarawak, tetapi British tidak menunjukkan minat untuk mencampuri urusan Sarawak. Pihak British masih lagi berpegang pada tiadanya kepentingan politik dan ekonomi untuk campur tangan di Sarawak.
Namun demikian, minat terhadap Sarawak ini banyak disuarakan oleh ahli politiknya seperti lawatan dua ahli Parti Buruh ke Sarawak pada tahun 1920. Dalam lawatan ini, mereka melihat Sarawak masih lagi ketinggalan dalam pembangunan. Menurut mereka, Sarawak menjadi tempat untuk keluarga Brooke membuat kekayaan. Kritikan terhadap pentadbiran Brooke ini tidak membawa apa-apa kesan pada dasar kerajaan dan perdebatan dalam Parlimen British serta dalam surat khabar di England.
Pada tahun 1930, idea untuk menggabungkan negeri-negeri Borneo dihidupkan semula oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Sir Cecil Smith. Cadangan beliau ini sama seperti cadangan awal dengan mencadangkan agar sistem Residen diwujudkan di negeri-negeri Borneo ini dengan kawalan dari Singapura. Matlamat akhir cadangan Smith ini adalah menjadikan negeri-negeri ini bertaraf tanah jajahan mahkota. Apabila beliau mendapat persetujuan untuk berunding hal ini daripada SBUB, beliau amat teruja untuk membuka ruang berbincang tentang isu ini dengan Raja Brooke.
Oleh sebab itu, beliau melawat Sarawak pada Ogos 1930, namun demikian dalam lawatan itu menampakkan Sarawak tidak mahu mengubah statusnya. Sarawak mahu mengekalkan hubungan Sarawak dan British seperti perjanjian naungan 1888. Hal ini tidak mematikan hasrat Smith dan mencadangkan kepada kerajaan British membeli Borneo Utara dengan harapan Sarawak akan mengikut kemudiannya. Cadangan Smith ini akhirnya ditolak oleh kabinet di London kerana melibatkan implikasi kewangan.
Pengganti Smith, iaitu Sir Shenton Thomas meneruskan usaha ini, tetapi Bertram Brooke masih mahu agar status Sarawak kekal sebagai negeri naungan British seperti dalam Perjanjian 1888.
Pada lewat tahun 1930-an, muncul pandangan pihak dunia terhadap keadaan sosial dan ekonomi di jajahan British yang membawa kedudukan pemerintahan Brooke di Sarawak kembali menjadi perhatian dunia. Pada ketika itu juga, masalah keselamatan dan pertahanan negeri di utara Borneo yang di ambang perluasan kuasa Jepun juga menarik minat semula British terhadap Sarawak.
Dalam hal ini, Ketua Seksyen Timur dalam Pejabat Kolonial, iaitu Edward Gent merupakan orang bertanggungjawab untuk mendekatkan negeri-negeri utara Borneo dengan British. Beliaulah yang mencadangkan agar Malayan Union itu harus juga merangkumi negeri-negeri utara Borneo bersama-sama negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu. Namun demikian, hal ini tidak menjadi kenyataan. Kemudiannya idea menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan menjadi pilihan terbaik.
Akhirnya, selepas Perang Dunia Kedua, Sarawak menjadi tanah jajahan British. Oleh sebab itu, idea untuk menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan telah berlaku sebelum Perang Dunia Kedua lagi, tetapi ketiadaan dasar yang kukuh menyebabkan usaha ini tidak berjaya digerakkan.